KUALA LUMPUR 10 Mac – Tidak ada mana-mana bahagian Bersatu yang terbubar susulan peletakan jawatan ahli jawatankuasa (AJK) di peringkat itu yang dikaitkan pemecatan Hamzah Zainudin sebagai Timbalan Presiden parti.
Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, menegaskan, apa yang berlaku hanya peletakan jawatan AJK dan berdasarkan perlembagaan parti, pembubaran bahagian hanya boleh dibuat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) sahaja.
Justeru katanya, struktur organisasi bahagian-bahagian berkenaan akan disusun semula menerusi jawatankuasa petugas khas atau jawatankuasa penaja baharu.
“Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) juga mengambil maklum tidak ada bahagian yang berjaya dibubarkan. Ini hendak kita jelaskan kerana dalam beberapa minggu yang lepas, selepas peristiwa pemecatan Timbalan Presiden, kononnya ada beberapa bahagian dan pimpinan bahagian mengisytiharkan bahagian dibubarkan.
“Tiada yang lumpuh sepenuhnya. Bila dia kata bubar, sebenarnya dia tak ada kuasa untuk membubarkan. Jadi tidak terbubar. Apa yang berlaku ialah orang yang buat pengumuman itu letak jawatan ataupun meninggalkan Bersatu.
Atas sebab itu berlakulah sedikit kelompangan jawatan yang terlibat tadi yang perlu diisi. Kita ambil tindakan untuk mencari pengganti atau kalau kesannya agak lebih besar sedikit, kita tubuhkan jawatankuasa penaja,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat MPT Bersatu, di sini hari ini.
Sebelum ini terdapat beberapa laporan mendakwa puluhan bahagian Bersatu terbubar susulan peletakan jawatan ketua bahagian dan AJK kerana mendakwa wujudnya krisis kepimpinan dalam parti itu.
Antara bahagian dilaporkan terbubar sebelum ini ialah 11 bahagian di Johor, empat di Perak dan lima bahagian di Melaka.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, berkata bahagian yang didakwa terjejas itu tidak sebesar seperti yang digambarkan pihak tertentu.
“Saya sukacita hendak maklumkan bahawa sebenarnya bahagian itu tidaklah sebesar mana yang digambarkan pihak tertentu. Maknanya majoriti tidak terjejas,” katanya.
Muhyiddin berkata, melalui penyusunan semula struktur organisasi itu, ramai pemimpin muda daripada sayap parti diberi tanggungjawab memimpin di peringkat lebih tinggi di bahagian.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, Konvensyen Bersatu di peringkat negeri akan diadakan bermula April ini bagi membahaskan isu nasional dan usaha dilaksanakan parti di peringkat negeri.
Nnnn
