PUTRAJAYA 9 Mac – Hamzah Zainudin tidak berhasrat menyertai semula UMNO walaupun pintu keahlian parti itu dibuka tanpa syarat seperti diumumkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di bawah inisiatif ‘Rumah Bangsa’ .
Ketua Pembangkang itu berkata, beliau sebaliknya akan memberi tumpuan bagi memastikan semua pihak dapat bersama dalam melakukan agenda ‘reset’ terhadap keadaan negara demi masa depan rakyat.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut itu menegaskan ramai pemimpin daripada pelbagai parti turut bersama dengannya dalam usaha memperkukuh agenda berkenaan.
“Saya bersyukur pada malam ini kerana majlis ini dapat sambutan yang agak baik. Kita lakukan untuk merapatkan silaturahim. Dalam negara kita, bila saya sebut merapatkan silaturahim ini, mana-mana parti pun saya tidak ambil kira, termasuk juga UMNO,” katanya
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Pembangkang di sini, hari ini.
Yang turut hadir beberapa pemimpin Perikatan Nasional (PN) termasuk Presiden Gerakan, Dr Dominic Lau dan pemimpin Pas yang juga Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim di samping Presiden MIC, S A Vigneswaran dan Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir.
Hamzah menegaskan beberapa perkara memerlukan perhatian serius bagi memastikan negara memperoleh momentum baharu dalam usaha menyelesaikan pelbagai isu semasa.
“Kalau kita perlukan ‘traction’, kita perlukan kekuatan. Yang patut bersama dalam perjuangan ini untuk memastikan segala apa yang berlaku itu dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.
Ditanya sekali lagi sama ada beliau berminat untuk kembali menyertai UMNO dalam masa terdekat, Hamzah sekadar memberi jawapan ringkas.
“Tak payah masuklah,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat, digantung keahliannya untuk kembali ke parti itu tanpa syarat.
Nnnn
