MAKKAH – Imam Masjidilharam , Sheikh Abdulrahman Al-Sudais, menegaskan ibadah adalah satu perjalanan berterusan yang harus diteruskan walaupun selepas berakhirnya bulan Ramadan.
Tegas beliau, Ramadan adalah musim untuk membentuk kesan berpanjangan dan menyucikan jiwa melalui kewarakan, matlamat utama ibadah puasa.
Menerusi khutbah Jumaat, Sheikh Al-Sudais menekankan bahawa manfaat sepenuhnya Ramadan terletak pada keupayaan menterjemah nilai-nilainya menjadi sahsiah yang kekal.
Beliau menjelaskan bahawa hakikat sebenar puasa dizahirkan menerusi tutur kata yang jujur serta amal soleh.
Beliau turut menyeru umat Islam memanfaatkan bulan suci ini untuk memperkukuh ikatan kekeluargaan dan mempromosikan solidariti sosial, selaras dengan sunnah Rasulullah SAW.
Sementara itu, Arab Saudi mencatat rekod baharu jumlah jemaah umrah apabila 904,000 orang menunaikan ibadah itu dalam satu hari pada 4 Ramadan 1447 Hijrah, mengatasi rekod 2025 yang merekodkan sekitar 500,000 jemaah pada 7 Mac.
Menurut kenyataan pengurusan Haramain lonjakan jumlah jemaah memerlukan langkah keselamatan dan pengurusan orang ramai dipertingkat bagi memastikan ibadah berjalan lancar.
Kawasan mataf diperuntukkan khusus untuk jemaah umrah sepanjang hari bagi memastikan tawaf dapat dilaksanakan dengan selamat.
Sepanjang Ramadan, terutama pada hari Jumaat serta waktu Maghrib, Isyak, Tarawih dan Tahajud pada 10 malam terakhir, ruang solat di Masjidil Haram dipenuhi dengan cepat.
Jemaah diarahkan menggunakan kawasan lapang dan ruang solat tambahan yang ditetapkan sekiranya ruang utama penuh.
Pihak berkuasa turut melarang jemaah berkumpul di laluan pejalan kaki, jalan raya dan halaman masjid bagi mengelakkan kesesakan berbahaya manakala pergerakan
masuk dan keluar mesti mengikut papan tanda arah yang ditetapkan.
Bagi mengurangkan kesesakan di sekitar masjid, laluan pejalan kaki khas diwujudkan di kawasan tengah kota Makkah, manakala kenderaan tidak dibenarkan memasuki zon tersebut untuk tempoh tertentu sekitar waktu solat.
Motosikal dan basikal tanpa kebenaran turut diharamkan di kawasan berkenaan, sementara kenderaan yang menghalang keselamatan pejalan kaki akan ditunda serta dikenakan saman trafik.
Pengangkutan jemaah diselaraskan menggunakan bas awam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz dan 14 kawasan letak kenderaan khas termasuk sembilan di dalam kota suci serta lima di laluan masuk ke Makkah.
Jemaah yang tidak dapat memasuki Masjidilharam akibat kesesakan akan diarahkan ke masjid berhampiran dan dewan solat yang dilengkapi kemudahan.
Nnnnn
