57,910 murid pembawa talasemia

KUALA LUMPUR 23 Feb. – Seramai 57,910 daripada 2.12 juta murid yang menjalani saringan di seluruh negara dikenal pasti sebagai pembawa talasemia, kata Menteri Kesihatan,  Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata angka itu membawa kepada prevalens (jumlah bilangan individu berpenyakit pada sesuatu masa dan kawasan) pembawa talasemia di seluruh negara kepada paras matriks 59.1 per 1,000 murid disaring.

“Prevalens pembawa talasemia tertinggi direkodkan dalam kalangan masyarakat Melayu, diikuti Kadazan Dusun dan Cina.

Selain itu, negeri yang mempunyai kadar pembawa talasemia (per 1,000 murid disaring) ialah Kedah (103), Pahang (90.7), Terengganu (82.1) dan Kelantan (75),” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) mengenai status pencapaian program saringan talasemia, termasuk pelajar berusia 16 tahun, praperkahwinan, pranatal serta tahap kesedaran rakyat mengenai penyakit itu.

Talasemia ialah penyakit genetik yang berlaku akibat gangguan penghasilan hemoglobin dalam sel darah merah, menyebabkan anemia dengan tahap keterukan berbeza.

Penyakit itu terbahagi kepada talasemia alfa dan beta, selain diklasifikasikan mengikut keterukan kepada talasemia minor, intermedia dan major.

Menjawab soalan asal, Dzulkefly berkata, seramai 9,554 pesakit talasemia direkodkan di negara ini dengan angka itu berdasarkan data rasmi Laporan Tahunan Daftar Talasemia Malaysia 2023, diterbitkan tahun lalu.

Beliau berkata, data itu diperoleh daripada 102 hospital KKM dan dua hospital universiti terbabit dalam penyampaian perkhidmatan kepada pesakit talasemia.

Mengenai aspek klinikal, katanya, penghidap dikategorikan kepada keperluan pemindahan darah iaitu, masing-masing pesakit bergantung kepada pemindahan darah (TDT) dan pesakit tidak bergantung kepada pemindahan darah (NTDT).

Pesakit TDT kebanyakannya talasemia major, memerlukan pemindahan darah secara berkala sepanjang hayat bagi mengekalkan paras hemoglobin mencukupi dan mencegah komplikasi serius.

Manakala bagi pesakit NTDT pula tidak memerlukan pemindahan darah berkala tetapi mungkin memerlukannya dalam keadaan tertentu.

Dzulkefly berkata, anggaran kos sepanjang hayat bagi setiap pesakit talasemia yang bergantung kepada pemindahan darah, bermula dari usia kanak-kanak hingga 40 tahun adalah sebanyak AS$606,665 (hampir RM3 juta) bagi setiap pesakit.

Jumlah itu merangkumi kos penjagaan kesihatan iaitu 92.5 peratus dan biaya perbelanjaan penjagaan kesihatan ditanggung pesakit dan keluarga pula sebanyak 7.5 peratus.

Related posts

Leave a Comment