TEHRAN – Kerajaan Iran mencabar mana-mana pihak yang meragui angka kematian dalam protes besar-besaran bulan lalu, supaya “mengemukakan bukti”
Menteri Luar, Abbas Araghchi, berkata pihaknya sudah mengeluarkan senarai 3,117 mangsa, termasuk kira-kira 200 anggota keselamatan.
Justeru, beliau menolak dakwaan jumlah korban tinggi dalam protes itu sambil menegaskan bahawa ribuan yang terbunuh adalah mangsa “serangan pengganas”.
Kenyataan itu dibuat selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mendakwa 32,000 orang terbunuh, sambil menyifatkan rakyat Iran “hidup dalam keadaan neraka” di bawah pemerintahan ulama negara itu.
Araghchi turut aktif memberi temu bual kepada media AS dalam usahanya menjelaskan pendirian Tehran serta meredakan ketegangan berhubung rundingan nuklear.
Beberapa negara, termasuk Serbia, turut menasihatkan rakyat mereka meninggalkan Iran susulan kebimbangan terhadap kemungkinan tercetusnya konflik.
Pelapor khas PBB, Mai Sato, berkata lebih 20,000 orang awam mungkin terbunuh, namun akses maklumat amat terhad berikutan sekatan internet sejak hampir enam minggu lalu.
Sementara itu, kumpulan hak asasi berpangkalan di AS, HRANA, melaporkan lebih 7,000 kematian telah dikenal pasti dan hampir 12,000 kes lagi sedang disiasat.
Dalam satu kenyataan bersama, 30 pakar hak asasi menggesa Iran mendedahkan nasib puluhan ribu individu yang ditahan atau hilang selepas rusuhan, serta menghentikan pelaksanaan hukuman mati berkaitan protes.
Nnnn
