TOKYO – Kementerian Luar Jepun memberi amaran mengenai kemungkinan berlaku perubahan mendadak di Timur Tengah dan meningkatkan kewaspadaan dengan mengeluarkan nasihat perjalanan di lebih 50 negara serta wilayah.
Menurut satu kenyataan, amaran itu merangkumi rantau Asia Barat sendiri, Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara Eropah.
Terdapat kemungkinan berlaku perubahan drastik dalam situasi di Asia Barat. Malah di luar wilayah itu, termasuk di AS, insiden tidak dijangka berkaitan situasi berkenaan tidak boleh diketepikan.
Situasi ketegangan boleh menyebabkan penutupan ruang udara dan lapangan terbang, sekali gus mengakibatkan pembatalan serta kelewatan penerbangan.
Nasihat perjalanan itu melibatkan Afghanistan, Emiriyah Arab Bersatu, Yaman, Israel, Palestin, Iraq, Mesir, Oman, Qatar, Kuwait, Arab Saudi, Syria, Turkiye, Bahrain, Jordan, Lubnan serta AS, Kanada, dan beberapa negara Eropah termasuk United Kingdom, Jerman, Perancis, Itali, Sepanyol, Belanda, Belgium, Poland dan Romania.
Rakyat Jepun digesa untuk memantau perkembangan terkini daripada pelbagai sumber, mengelak kemudahan tentera AS, dan mengambil langkah keselamatan peribadi.
Pada 4 Februari, Presiden Donald Trump berkata Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei “sepatutnya berasa sangat bimbang” dan mengancam untuk mengambil tindakan “sangat tidak baik” terhadap Iran jika negara itu memutuskan untuk menyambung semula program nuklearnya di kemudahan baharu.
Trump pada Januari menyatakan “armada besar” sedang menuju ke arah Iran, sambil menyatakan harapan agar Tehran bersetuju untuk berunding dan menandatangani perjanjian yang “adil dan saksama” melibatkan pengguguran sepenuhnya senjata nuklear.
Presiden itu memberi amaran bahawa jika tiada persetujuan mengenai program nuklear Iran dicapai, sebarang serangan AS pada masa hadapan ke atas negara itu akan menjadi “jauh lebih buruk” daripada serangan sebelum ini.
Nnnn
