RAUB 21 Feb. – Kepemimpinan dan ahli jawatankuasa (AJK) Bersatu bahagian Raub dan Lipis keluar parti kerana hilang keyakinan terhadap pucuk kepemimpinan.
Ketua Bersatu Raub, Fakrunizam Ibrahim, berkata tindakan itu diputuskan selepas menilai pelbagai isu disifatkan bercanggah dengan prinsip perjuangan mereka.
Katanya, parti politik sekadar platform tetapi prinsip perjuangan dan nilai moral mesti kekal konsisten.
“Kami tidak mahu mengulangi kesilapan kepimpinan terdahulu dalam beberapa parti lain seperti UMNO, PKR, Amanah dan Pas,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Fakrunizam berkata, terdapat isu moral membabitkan pimpinan tertinggi Bersatu dan salah laku peribadi menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan ahli di peringkat akar umbi.
Menurutnya, keputusan bahagian itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk keperluan penyelarasan pentadbiran, pengukuhan jentera serta penetapan hala tuju politik di Raub.
Sementara itu, Ketua Bersatu Lipis, Nor Alias Ibrahim, berkata majoriti pimpinan bahagian dan cawangan menyokong keputusan keluar parti selepas perbincangan serta tinjauan di peringkat akar umbi dilakukan.
Beliau berkata sebahagian besar pimpinan cawangan mahu perjuangan selepas ini terus berteraskan nilai agama, integriti dan prinsip moral.
“Langkah ini dilihat sebagai usaha memperkukuh semula organisasi serta menyusun strategi baharu bagi menghadapi landskap politik semasa semakin mencabar,” katanya.
Terdahulu AJK Bahagian Subang dan Pasir Salak mengambil keputusan meletak jawatan dan keluar parti itu selepas hilang kepercayaan terhadap Presidennya, Muhyiddin Yassin.
Setiausaha Bersatu Subang, Wan Ahmad Shukrie berkata, tindakan diambil atas dasar prinsip dan integriti selepas mendapati hala tuju serta keputusan pimpinan tertinggi parti tidak lagi selari dengan mandat dan aspirasi akar umbi.
“Atas dasar prinsip yang tidak boleh dikompromi, kami selaku barisan kepimpinan Jawatankuasa Bersatu Bahagian Subang meletak jawatan secara kolektif daripada semua jawatan yang disandang,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ahmad Shukrie, keputusan kolektif itu diambil dengan berat hati, namun penuh tanggungjawab.
Sementara itu, seluruh AJK Bersatu Bahagian Pasir Salak turut membuat keputusan meletak jawatan serta keluar parti selepas mesyuarat khas bahagian itu semalam.
Kenyataan mengenai keputusan itu dibacakan Pemangku Timbalan Ketua Bahagian, Mohamad Zahid Aman Nauri.
“Kami seluruh AJK Bersatu Bahagian Pasir Salak dengan saya Timbalan Ketua Bahagian selaku Pemangku: Naib Ketua Bahagian, Mohamad Zainal Abidin Saini; Setiausaha Bahagian, Abdul Manaf Saud; Bendahari, Mohamad Aiman Abdul Majid; Ketua Penerangan, Nor Azman Askar meletak jawatan dan keluar parti,” katanya.
nnn
