Pasukan khas susun semula bahagian terjejas

SEPANG 21 Feb. – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menubuhkan satu Pasukan Petugas Khas bagi menyusun semula bahagian-bahagian dan sayap parti yang terbabit dengan peletakan jawatan ketua dan ahli jawatankuasanya.

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dalam kenyataan hari ini berkata, pasukan itu akan dipengerusikan bersama oleh dua Naib Presiden iaitu Dr Radzi Jidin dan Ahmad Faizal Azumu.

Katanya, Setiausaha Agung Bersatu, Mohamed Azmin Ali pula akan bertindak sebagai sekretariat Pasukan Petugas Khas manakala ketua-ketua Badan Pimpinan Negeri diarahkan untuk mengenal pasti bahagian-bahagian yang terbabit.

“Penyusunan semula bahagian-bahagian ini akan melibatkan pemangkuan jawatan Ketua Bahagian atau pembentukan jawatankuasa bahagian yang baharu mengikut perlembagaan parti.

“Sayap-sayap parti yang terbabit dengan peletakan jawatan juga akan disusun semula melalui pemangkuan atau pembentukan jawatankuasa yang baharu,” katanya.

Muhyiddin berkata, Bersatu mempunyai barisan pelapis dan ahli-ahli aktif di setiap bahagian yang bersedia memikul tanggungjawab besar untuk memperkukuhkan parti.

“Saya yakin ramai ahli Bersatu yang setia dengan perjuangan parti akan tampil ke hadapan untuk menggalas amanah ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan Bersatu akan terus komited kepada perjuangan Perikatan Nasional (PN) dan beliau mengesahkan akan menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang akan memutuskan pelantikan pengerusi gabungan itu esok.

“Saya akan menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 22 Februari (esok) yang akan memutuskan pelantikan Pengerusi PN serta perkara-perkara lain yang berkaitan dengan pengukuhan dan pemerkasaan PN,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment