SEPANG 19 Feb. – Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin, menjadi pemimpin kanan terbaru mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Bahagian Bersatu Masjid Tanah, hari ini.
Turut meletak jawatan adalah 39 lagi ahli jawatankuasa bahagian terbabit termasuk Naib Ketua Roslan Joned, Setiausaha Bahagian Shahrul Azhar Amir, Ketua Srikandi Norihan Bahari dan Ketua Armada Muhammad Majidul Ikhwan Md Jidin
Dalam kenyataannya, Shahrul Azhar berkata, keputusan itu dibuat pada satu mesyuarat khas, yang dihadiri oleh ahli jawatankuasa bahagian, ketua-ketua sayap serta ketua-ketua cawangan Bersatu Masjid Tanah.
Katanya, pertemuan selama dua jam itu telah berlangsung dengan baik dan ketua bahagian telah memberi penjelasan tentang perkembang terkini konflik politik Bersatu.
“Sesi mesyuarat khas ini juga telah merakamkan secara sebulat suara tentang pendirian Bersatu Masjid Tanah bahawa tindakan ini dilakukan atas faktor telah kehilangan kepercayaan kami kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai presiden.
“Dengan peletakan jawatan kami ini, maka dimaklumkan bahawasanya Jawatankuasa Bersatu Bahagian Masjid Tanah adalah dengan ini terbubar secara rasmi,” katanya dalam kenyataan di media sosialnya, hari ini.
Sementara itu, pemimpin termasuk jawatankuasa Bersatu tiga bahagian di Perak turut mengumumkan peletakan jawatan susulan pemecatan Hamzah Zainudin sebagai Timbalan Presiden parti itu.
Mereka adalah Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Malim, Mohd Amran Ibrahim; Ketua Bersatu Bahagian Bukit Gantang, Ahmad Man dan Ketua Bersatu Bahagian Bagan Serai, Ismail Ali.
Mereka mendakwa peletakan jawatan mereka turut membabitkan kesemua ahli jawatankuasa bahagian berkenaan.
Nnn
