Azam: Guan Eng pegang kenyataan PH 2022

SEPANG 15 Feb.  – Penasihat DAP, Lim Guan Eng, tetap berpegang kepada kenyataan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada 12 Januari 2022 supaya Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  Azam Baki digantung tugas.

Bekas Setiausaha Agung DAP itu berkata, pada masa itu, Azam terlibat dalam kontroversi pegangan saham yang serupa berhubung pemilikan 1,930,000 saham dalam Gets Global Berhad (dahulunya KBES Berhad) pada 30 April 2015, yang bernilai kira-kira RM772,000.

Menerusi satu kenyataan, Guan Eng berkata, pegangan saham Azam dalam Gets Global Berhad menurun kepada 1,029,500 saham setakat 31 Mac 2016, yang bernilai sekitar RM340,000 ketika itu, serta memegang 2,156,000 waran dalam Excel Force MSC Berhad pada Mac 2016.

“Kini, Tan Sri Azam sekali lagi terlibat dalam kontroversi pegangan saham yang serupa apabila rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendedahkan bahawa beliau pada satu ketika tahun lalu memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Berhad serta kira-kira 4.52 juta saham dalam Awanbiru Technology Berhad.

Menurut laporan Malaysiakini, saham Velocity Capital Partner dipercayai dibeli pada harga sekitar RM1.5 juta, manakala saham Awanbiru Technology dianggarkan bernilai antara RM1.24 juta hingga RM1.38 juta pada suatu ketika.

Seperti mana yang dicadangkan oleh Majlis Presiden PH pada tahun 2022, saya juga bersetuju bahawa isu ini wajar dibahaskan sebagai satu usul khusus di Parlimen sebelum sidang semasa berakhir pada 3 Mac 2026,” kata Ahli Parlimen Bagan itu.

Sementara itu Pemangku Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz, turut mendesak Azam digantung tugas serta-merta supaya siasatan dakwaan berkait dengannya dapat dilaksanakan secara telus

Amira Aisya mendakwa ia susulan kredibiliti Azam sudah dipersoalkan sejak 2021, terutama berkaitan isu pemilikan saham.

“Macam mana kita nak percaya kepada SPRM apabila Ketua Pesuruhjayanya sendiri (didakwa) sudah hilang kredibiliti dan tidak lagi dipercayai orang ramai? Sejak 2021, kredibiliti Azam (didakwa) dipersoalkan, khususnya berkaitan isu pemilikan saham.

“Ketika itu, ramai yang turun ke jalan raya menuntut beliau berundur. Pihak pembangkang dan PH turut bersama dalam tuntutan berkenaan,” katanya dalam satu hantaran melalui media sosial.

Bagaimanapun, beliau berkata, situasi kini adalah sebaliknya apabila kontrak perkhidmatan Azam diperbaharui berulang kali.

“Sampai bila sokongan ini akan berterusan? Kenapa sukar sangat untuk menggantung (tugas) Azam sementara siasatan dijalankan, supaya proses siasatan dapat dilakukan secara telus?

“Rakyat bukan bodoh. Rakyat melihat, rakyat membaca dan rakyat tidak akan berdiam diri. Sampai bila mahu mempertahankan Azam?” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment