KUALA LUMPUR 14 Feb. – Bekas Timbalan Presiden Bersatu , Hamzah Zainudin, tidak menolak tiga kemungkinan hala tuju selepas dipecat keahlian parti itu, iaitu mengambil alih parti Berjasa, kembali menganggotai UMNO ataupun menyertai Pas.
Bagaimanapun beliau menjelaskan sebarang keputusan akan dilakukan secara konsensus bersama pemimpin lain yang turut dipecat Bersatu.
Katanya, buat masa ini, Ahli Parlimen Larut yang juga Ketua Pembangkang, mengaku selesa memainkan peranan sebagai Ahli Parlimen Bebas sehingga kedudukan itu diputuskan sebaliknya kelak.
“Saya akan ada ‘rumah baharu’. Rumah baharu ini merujuk kepada rumah bangsa… ia boleh jadi parti baharu ataupun lama tetapi yang penting, rumah baharu. Begitu juga dengan dakwaan bahawa saya akan mengambil alih Berjasa.
Mungkin betul atau tidak tetapi segala-galanya akan dipertimbangkan kerana ini adalah antara pilihan yang ada,” katanya kepada pemberita pada Taklimat Hala Tuju dan Reset Politik bersama Hamzah, di sini, petang ini.
Sambil mengaku beliau kini bertindak sebagai ‘kapten’ perjuangan semua pemimpin Bersatu yang dipecat daripada parti itu, Hamzah tidak menetapkan sebarang tempoh khusus untuk memuktamadkan keputusan berhubung hala tuju baharunya.
“Pas ada menyatakan mereka membuka pintu untuk bergabung. Inilah sebabnya saya kata, jangan tanya sama ada mahu bergabung dengan siapa dan bila. Ini akan diputuskan secara bersama selepas berbincang dengan semua rakan.
“Hari ini sudah Sabtu, manakala esok dan Isnin pula cuti. Saya sudah bertanya kepada mereka tetapi semuanya dalam mood cuti. Mereka datang hari ini pun atas dasar sahabat saya,” katanya.
Dalam pada itu, Hamzah memaklumkan bahawa Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, menasihati beliau agar terus tenang menghadapi sebarang kemungkinan, dalam pertemuan mereka di Rusila, Terengganu, semalam.
“Saya sampai dan beliau (Abdul Hadi) berkata: ‘Insya-Allah, apapun yang berlaku mesti ada hikmah di sebaliknya’,” katanya.
Hamzah berkata, Abdul Hadi turut bertanyakan jumlah Ahli Parlimen yang kini bersamanya.
“Setakat ini, termasuk saya sendiri, sudah diumumkan 19 daripada 25 Ahli Parlimen bersama pihak saya. Itu menunjukkan majoriti,” katanya.
Sementara itu, Hamzah menegaskan beliau tidak akan merayu keputusan Bersatu memecat keahliannya mahupun memfailkan petisyen di mahkamah bagi mengisytiharkan tindakan berkenaan tidak sah dari segi undang-undang.
“Saya kini bebas dan tidak perlu lagi mendengar perkara yang mungkin terpaksa dilakukan (jika kembali bersama Bersatu ). Buat apa (memfailkan petisyen ke mahkamah), biarkanlah keputusan parti,” katanya.
Terdahulu, Hamzah dalam ucapan pada taklimat itu berkata, beliau membuat keputusan untuk tidak mengemukakan rayuan terhadap pemecatannya daripada Bersatu , selepas mengambil kira faktor perjuangan memerlukan pengorbanan.
“Semata-mata kerana perjuangan. Kalau saya tidak lagi diperlukan parti, maka selamat tinggal Bersatu ,” katanya.
Nnn
