SEPANG 2 Feb. – UMNO perlu menubuhkan segera sekretariat khas untuk mengemukakan respon balas terhadap kajian untuk mengadakan pilihan raya jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Dr Puad Zarkashi berkata, cadangan yang didakwa dikemukan Menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh itu satu isu serius.
Menerusi hantaran di Facebooknya, beliau bimbang pilihan raya itu jika diadakan bukan sahaja akan dipengaruhi oleh parti politik dan sentimen perkauman tetapi juga oleh kartel dan gangster.
“Media melaporkan Menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh berkata kajian untuk mengadakan pilihan raya jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur (KL) telah dibuat. ini isu serius.
KL banyak pusat hiburan, pub, kelab malam, pusat urut dan kegiatan tidak bermoral. Banyak aktiviti under world, kartel dan gangster.
Bayangkan KL gangster guna duit dan rangkaian mereka untuk sokong calon tertentu. Pejabat Datuk Bandar tidak lagi bebas. Jika penjawat awam buat kesalahan tindakan tata tertib boleh diambil. Tetapi Datuk Bandar yang dipilih melalui pilihan raya kena tunggu penggal mereka tamat,” katanya.
Justeru UMNO kata Puad mesti menbantah dan menubuhkan segera sekretariat khas untuk mengemukakan cadangan balas seperti mana UMNO membantah Rang Undang-undang (RUU) Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA).
Malaysiakini yang memetik laporan temu bual bersama China Press menyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh mengarahkan kementeriannya menjalankan kajian mengenai kebolehlaksanaan mengadakan pilihan raya datuk bandar bagi Kuala Lumpur.
Katanya, kementerian sedang mempertimbangkan pilihan raya sedemikian kerana ia dilihat lebih praktikal berbanding memilih ramai ahli majlis bandar raya melalui pilihan raya kerajaan tempatan.
Yeoh menjelaskan bahawa struktur pentadbiran sedia ada sudah melibatkan “terlalu banyak unit”, dengan ibu negara pada masa ini ditadbir secara serentak oleh seorang datuk bandar, ahli-ahli parlimen serta penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Jika saya datuk bandar, nasihat siapa yang perlu saya dengar? Adakah saya perlu mendengar ahli parlimen yang dipilih, penasihat DBKL, atau ahli majlis bandar raya?” kata Yeoh.
Sementara itu Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh berkata UMNO harus menolak dan menggagalkan rancangan untuk mengadakan pilihan raya Datuk Bandar itu.
Katanya, sebagaimana UMNO menolak dan menggagalkan rancangan URA dan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), tindakan sama perlu diambil.
“Sebelum ni URA. Selepas itu pilihan raya PBT. Kali ini pilihan raya datuk bandar KL pula. Mereka tetap mereka. Kita jangan lalai.
Kita sibuk bergaduh sesama kita kerana kuasa. Mereka bersatu kerana kuasa. Sedarlah wahai saudaraku,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Nnnn
