SELEPAS 14 tahun, Pakistan dan Bangladesh menyambung semula penerbangan terus apabila pesawat Biman Bangladesh Airlines mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah, Karachi.
Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar berkata, inilah matlamat yang dinanti-nantikan yang menjadi fokus utamanya semasa lawatan ke Bangladesh pada Ogos 2025.
“Misi pertama dari Dhaka mendarat di Karachi lewat malam tadi, menandakan penyambungan semula hubungan udara antara Pakistan dan Bangladesh selepas 14 tahun.,” kata Ishaq Dar pada Jumaat.
Dar berkata pemulihan penerbangan terus itu akan meningkatkan pertukaran belia, akademik, budaya, perniagaan, dan hubungan masyarakat, termasuk hubungan keluarga.
Pelepasan penerbangan BG-341 dilakukan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal pada Khamis dengan penerbangan sulung membawa 150 penumpang, dan perkhidmatan akan bermula dengan dua penerbangan seminggu.
Dalam pada itu, Pakistan International Airlines (PIA) yang merancang untuk melancarkan perkhidmatan ke Bangladesh, menyambut kedatangan Biman.
“Satu kepulangan yang amat dinantikan – PIA menyambut kehadiran saudara kita dari Bangladesh dengan bangga dan mesra. Dua negara kembali menjalinkan hubungan erat menerusi ruang udara,” katanya menerusi hantaran di aplikasi X.
Sebelum ini, perjalanan antara kedua-dua negara yang terpisah sejauh 1,500 kilometer terpaksa menggunakan laluan transit yang menyulitkan, terutamanya menerusi wilayah Teluk.
Nnn
