Pemimpin MADANI bentang kegusaran kaum

KUALA LUMPUR 14 Jan.  – Pemimpin politik berteraskan kaum telah diberi peluang untuk membentangkan isu terkait kegusaran kaum dan negeri yang ditadbir semasa Program Pemukiman Kerajaan MADANI 2026 pada hujung minggu lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau sendiri terbabit dalam pembentangan itu dengan fokus beliau mengenai isu yang membabitkan kegelisahan orang Melayu sepanjang pentadbiran Kerajaan MADANI.

“Dalam pemukiman menteri baru-baru ini, saya diminta bentangkan apakah keprihatinan, kegelisahan dan kegusaran orang Melayu dalam Kerajaan Perpaduan sekarang,” katanya tanpa mengulas lanjut mengenai isu yang dibentangkannya ketika program pemukiman berkenaan.

Menurut Ahmad Zahid, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke membentangkan mengenai kegusaran orang Cina,  R Ramanan yang juga Naib Presiden PKR mengenai kegusaran orang India.

Begitu juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Abang Johari Abang Openg dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS),  Hajiji Noor tentang Sabah.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Simposium Politik Era Digital 2026 anjuran Penerangan UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, antara isu lain dibentangkan semasa pemukiman itu terkait dapatan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang berlangsung November tahun lalu.

Katanya ia dibentangkan sendiri oleh Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selaku Pengarah Pilihan Raya Bersama PH.

Selain itu, isu mengenai manifesto yang ditawarkan gabungan parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan turut dibentangkan semasa pemukiman itu.

Katanya  Ketua Penerangan UMNO Azalina Othman Said dipertanggungjawab untuk menganalisis perbezaan dan persamaan manifesto yang ditawarkan setiap parti gabungan.

“Tetapi paling menarik adalah pembentangan Azalina tentang manifesto. Barisan Nasional (BN) beza manifesto dengan PH. Semua parti gabungan ada manifesto berbeza. Begitu juga GRS dan sebagainya.

“Walaupun manifesto berbeza, tapi ada isu sama (yang diketengahkan). Kos sara hidup semua parti memperjuangkan isu sama. Kadar pengangguran, soal perumahan dan soal yang menjadi isu rakyat. Terdapat juga isu berbeza dengan mereka. Ini semua dianalisis oleh Azalina,” katanya.

Related posts

Leave a Comment