Meta gesa Australia kaji semula larangan

SYDNEY – Meta telah menyekat lebih 544,000 akaun sehingga 11 Disember lalu, sejak Australia menguatkuasakan undang-undang baharu larangan penggunaan media sosial untuk individu bawah 16 tahun.

Bagaimanapun Meta menggesa kerajaan Australia menilai semula larangan tersebut dengan mencari pendekatan lebih baik selepas menutup 331,000 akaun Instagram, 173,000 akaun Facebook dan 40,000 akaun Threads dalam tempoh seminggu.

“Kami menyeru kerajaan bekerjasama dengan industri untuk meningkatkan standard keselamatan dan privasi dalam pengalaman digital yang sesuai umur, berbanding larangan menyeluruh,” kata syarikat itu.

Australia mewajibkan platform besar termasuk Meta, TikTok dan YouTube menghentikan akses akaun bagi pengguna bawah umur sejak 10 Disember lalu.

Syarikat yang gagal mengambil langkah munasabah boleh dikenakan denda sehingga A$49.5 juta (AS$33 juta).

Meta turut mengulangi cadangan supaya kedai aplikasi diwajibkan mengesahkan umur pengguna dan mendapatkan kelulusan ibu bapa sebelum muat turun aplikasi, bagi mengelak remaja berpindah ke platform baharu yang kurang dikawal.

Menurut Meta, ibu bapa dan pakar bimbang larangan ini akan mengasingkan remaja daripada komuniti dalam talian, mendorong mereka ke aplikasi tidak terkawal atau sudut gelap internet.

Tegas Meta, kesan awal undang-undang menunjukkan ia tidak mencapai objektif meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan remaja Australia.

Related posts

Leave a Comment