Bangladesh berkabung tiga hari

NEW DELHI – Bangladesh mengumumkan tempoh berkabung negara selama tiga hari bermula Rabu susulan kematian Perdana Menteri wanita pertamanya, Begum Khaleda Zia yang meninggal dunia pada usia 80 tahun pada Selasa.

Ketua Penasihat kerajaan interim, Muhammad Yunus yang mengumumkan demikian turut mengimbau kembali sumbangan Khaleda terhadap pembangunan Bangladesh dan menyifatkan, Bangladesh “kehilangan seorang pelindung negara yang hebat.”

Solat jenazah Khaleda akan diadakan di hadapan bangunan Parlimen di Dhaka pada Rabu, yang diisytiharkan sebagai cuti umum dan jenazah  akan dikebumikan bersebelahan pusara suaminya.

Khaleda dikenang sebagai seorang pemimpin yang bangkit menentang pelbagai cabaran dan muncul sebagai pejuang demokrasi yang bersemangat waja.

Berkhidmat sebagai Perdana Menteri selama dua penggal, dari 1991 hingga 1996 dan sekali lagi dari 2001 hingga 2006. Beliau juga memegang jawatan Perdana Menteri selama kira-kira dua minggu pada 1996 selepas memenangi pilihan raya awal yang dicemari dengan pemulauan oleh pihak pembangkang.

Anak kepada ahli perniagaan Iskandar Majumdar dan aktivis sosial Taiyaba Majumdar, itu dilahirkan pada 1945 di Jalpaiguri, Bengal yang ketika itu berada di bawah pemerintahan British.

Khaleda Khanam, adalah p anak ketiga dalam keluarga yang mempunyai tiga orang anak perempuan dan dua orang anak lelaki dan dikenali dengan nama panggilan “Putul.”

Beliau berkahwin dengan Ziaur Rahman pada 1960 dan mula terlibat secara langsung dalam kancah politik negara selepas kematian suaminya.

Zia, suami kepada Khaleda yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Turus Tentera Darat dan kemudian menjadi Presiden Bangladesh pada 1977, dibunuh dalam satu cubaan rampasan kuasa di bandar pelabuhan Chittagong pada 1981 ketika berusia 45 tahun.

Menjadi balu pada usia 36 tahun serta memimpin Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) yang diasaskan suaminya pada 1978 merupakan antara cabaran besar yang berjaya diatasi oleh bekas wanita pertama yang dahulunya bersifat pemalu itu untuk menjadi tokoh yang memberi inspirasi.

Pada 1980-an, beliau berganding bahu dengan pelbagai kuasa politik termasuk Sheikh Hasina, anak kepada pemimpin Liga Awami dan bekas presiden Sheikh Mujibur Rahman, dalam gerakan yang menamatkan pemerintahan Leftenan Jeneral Hossain Mohammad Ershad pada 1990.

Khaleda dipenjarakan pada 2018 atas pertuduhan rasuah yang menurut partinya bermotifkan politik dan bertujuan melemahkan pembangkang.

Khaleda yang dilaporkan uzur dan menerima rawatan di Hospital Evercare, Dhaka masih berhasrat untuk terus aktif dalam politik dan pencalonannya diumumkan bagi kawasan Bogura-7 pada pilihan raya Parlimen yang dijadualkan pada 12 Februari.

Anak lelakinya, Tarique Rahman, 60, kembali ke Bangladesh pada 25 Disember lalu selepas 17 tahun hidup dalam buangan di Britain. Tarique dianggap sebagai bakal pemimpin baharu negara sekiranya BNP memenangi pilihan raya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment