2.2 juta kenderaan di lebuh raya

KUALA LUMPUR 17 Dis.  – Sempena cuti persekolahan akhir tahun dan perayaan Krismas, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan peningkatan aliran trafik sehingga 2.2 juta kenderaan sehari di lebuh raya kendaliannya pada hari puncak 19, 20, 22, 23, 24, 26 dan 27 Disember ini.

Dalam kenyataannya hari ini, PLUS memaklumkan jangkaan itu termasuk pada 2 Januari 2026 dengan Smart Lane akan diaktifkan di 30 lokasi tumpuan trafik bagi membantu aliran trafik di lebuh raya sempena musim percutian dan perayaan kali ini.

Sehubungan itu, PLUS menasihatkan orang ramai merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA dalam aplikasi PLUS bagi memastikan kelancaran di lebuh raya sepanjang tempoh berkenaan.

Menurut kenyataan itu, jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA boleh diakses bukan sahaja pada musim-musim perayaan, malah pada hari-hari puncak terpilih.

Pengguna lebuh raya juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi interaksi bersama Pembantu Maya-PUTRI, mengikuti aplikasi X@plustrafik dan aplikasi X @lpt2trafik serta paparan mesej elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih atau menerusi saluran stesen radio utama negara.

Di samping itu, orang ramai juga boleh menghubungi talian PLUSLine di 1800-88-0000 atau LPT2Line di 1800-88-0220 yang beroperasi 24 jam sehari untuk mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment