KUALA LUMPUR – Pelbagai pihak membangkitkan rasa curiga terhadap hala tuju sebenar rombakan Kabinet Madani yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam.
Ketua Penbangkang Hamzah Zainudin berkata, dalam tempoh 24 jam, beliau menerima banyak maklum balas dan keresahan daripada rakyat.
Dalam satu kenyataan menerusi Facebook, Ahli Parlimen Larut itu berkata, rakyat berhak bertanya, sama ada rombakan Kabinet itu yang melibatkan kementerian tertentu akibat tekanan politik atau habuan kuasa?
“Persoalan ini berasas, terutamanya apabila kementerian-kementerian yang mempunyai pengaruh besar terhadap kerajaan tempatan dan wilayah, kini dikuasai satu parti yang sebelum ini lantang memperjuangkan pilihan raya kerajaan tempatan,” katanya.
Begitu juga, perubahan kementerian strategik seperti Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, yang menjadi tunjang kepada pengukuhan ekonomi khususnya dalam membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PKMS) yang kebanyakannya adalah bumiputera, juga perlu diperjelaskan secara telus.
“Lebih menimbulkan keraguan apabila menteri-menteri yang prestasi serta tindak-tanduknya dipersoalkan secara terbuka oleh rakyat terus dikekalkan. Begitu juga dengan pelantikan baharu individu yang dipertikaikan latar belakangnya,” katanya.
Hamzah berkata, rombakan Kabinet bukan sekadar soal menukar wajah, tetapi ia mestilah menzahirkan keupayaan kerajaan menjawab kegagalan sedia ada, bukannya semata-mata demi untung secupak hingga rugi segantang kerana yang menanggung kesannya adalah rakyat dan negara.
Untuk rekod Menteri Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) disandang oleh Hanna Yeoh dari DAP manakala timbalannya Lo Su Fui dari GRS sementara Pengerusi DAP Pulau Pinang Steven Sim Chee Keong sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Manakala antara menteri yang menimbulkan pertikaian ramai sebelum ini tetapi dikekalkan sebelum ini termasuk Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing.
Nnn
