SEPANG – Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin meminta pihak kerajaan mengambil langkah membendung unsur kultus yang mungkin mencetuskan ketegangan dan tindakan luar kawalan dalam masyarakat majmuk atau memesongkan orang muslim yang terlibat.
Katanya, siasatan dan pemantauan perlu dilakukan di samping mengambil langkah-langkah perlu untuk keamanan dan kebaikan negara berhubung dakwaan gerakan kultus menyimpang berasal dari Korea Selatan yang sedang aktif di negara ini.
“Natijah daripada ajaran seperti itu akan melahirkan para pengikut yang sangat taksub dan sanggup melakukan apa sahaja termasuk menzalimi dan memusnahkan pihak lain, mampu menggugat keamanan dan ketenteraman sesebuah negara.
Maka, hal ini mesti dipantau oleh pihak berkuasa agar tidak sampai ke titik di luar kawalan dan ada yang menjadi mangsa.
Sebagai satu nota, saya dilihat di bawah slogan ‘Madani’ unsur-unsur sebegini bagai mendapat lampu hijau atas nama pengurusan agama. Ia menjadikan saya agak sukar memahami apakah erti ‘madani’ dalam konteks tersebut,” katanya.
Dalam satu hantaran di Facebooknya, beliau yang menulis ketika dalam perjalanan daripada Dubai ke Abu Dhabi percaya Cawangan Khas Bukit Aman mempunyai maklumat berhubung dakwaan gerakan kultus menyimpang itu.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail ketika menjawab soalan wartawan meminta Mohd Asri berkongsi maklumat tentang gerakan kultus dari Korea yang kelihatan sejumlah ahli politik Malaysia turut hadir dalam majlis-majlis mereka.
Mohd Asri menjelaskan, beliau belum pernah membuat kenyataan umum tentang hal itu kecuali status di FB pada 3 Disember yang menyatakan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, diberi taklimat tentang Gerakan Kultus yang menggunakan nama Jesus dengan pelbagai dakwaan yang sangat janggal dan menyimpang serta aliran Kristian yang utama juga tidak mengiktiraf mereka.
Menerusi status itu, beliau berkata, ia berasal dari Korea dan gerakan ini aktif di Malaysia atas nama keamanan dan keharmonian tapi berorientasi ajaran menyimpang mereka.
Apa yang menimbulkan persoalan, ramai juga ahli parlimen muslim dan orang penting parlimen di negara inj kelihatan aktif dalam menyertai dan membantu gerakan ini.
Mohd Asri berkata, beliau tidak memberikan respon balas terhadap gesaan Saifuddin Nasution untuk tampil menyerahkan maklumat kegiatan itu disebabkan sedang menimbangkan beberapa isu lain yang turut menjadi perhatiannya.
“Sejak kenyataan Menteri terbabit, banyak media dalam dan luar negara mengeluarkan berita mengenainya. Banyak juga wartawan bertanya, namun saya tidak memberikan respon balas kerana menimbang beberapa isu lain yang sedang saya beri perhatian.
“Di samping itu, saya percaya pihak Cawangan Khas Bukt Aman tentu mempunyai maklumat mengenai hal ini. Team penyelidik yang membentangkan kepada Jawatankuasa Fatwa Perlis juga menyiapkan buku bersama dengan bahan-bahan yang terkumpul,” katanya.
Mohd Asri berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang isu mengenai kepelbagaian aliran atau agama untuk wujud bersama di negara atau dunia ini kerana kepelbagaian atau kerencaman cara fikir, kefahaman dan kepercayaan adalah satu realiti yang tidak boleh dinafikan dalam kehidupan manusia di dunia ini.
Katanya, mengiktiraf kepelbagaian tidak semestinya bermaksud kita mengiktiraf kebenaran yang terkandung dalam kepelbagaian itu.
“Walaupun begitu, setiap pihak yang aman, menyakiti atau berpotensi besar mengancam pihak lain boleh hidup bersama dan kita tidak membantah hak untuk wujud bersama, sekali pun mungkin kita tidak mengiktiraf dari segi akidah isi kandungan kepercayaan terbabit,” katanya.
Mengulas isu ajaran berteraskan kultus, beliau menjelaskan ia merujuk kepada bentuk pegangan melampau terhadap tokoh tertentu sehingga akal dan pertimbangan rasional diketepikan.
“Ajaran kultus biasanya dibina atas ketaatan melampau kepada tokoh sehingga segala perbuatannya tidak boleh dipersoalkan walaupun jelas bertentangan dengan akal, dalil dan fakta.
“Tokoh yang mengkultuskan diri sering mengemukakan dakwaan luar biasa berkaitan unsur ketuhanan atau kehebatan rohani, termasuk mendakwa mendapat perlantikan Ilahi, memiliki keajaiban atau menerima pengiktirafan ghaib yang sukar dibuktikan,” katanya.
Mohd Asri memaklumkan, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis bersama pasukan penyelidik sudah mengumpulkan bahan dan menyediakan kajian berkaitan isu berkenaan bagi tujuan pencegahan dan panduan.
Nnnn
