PHNOM PENH – Pertempuran berterusan di sempadan dengan Thailand memaksa Kemboja setakat 9 Disember menutup 514 sekolah di wilayah sempadan yang menjejaskan kira-kira 130,000 pelajar dan 4,650 guru.
Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan, Belia dan Sukan, wilayah yang paling terjejas ialah Oddar Meanchey, Preah Vihear dan Banteay Meanchey.
Sementara itu, Setiausaha Rendah Negara merangkap Jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja Leftenan Jeneral Maly Socheata, berkata, tujuh orang awam Kemboja terbunuh dalam konflik yang kembali tercetus petang Ahad lalu.
Manakala Menteri Penerangan Kemboja Neth Pheaktra berkata sekurang-kurangnya 16,568 keluarga Kemboja melibatkan 54,550 orang telah meninggalkan kediaman mereka berhampiran sempadan untuk berlindung di kawasan selamat.
Di Kuala Lumpur, Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) menyeru semua pihak berkaitan situasi di sempadan Thai-Kemboja supaya mematuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
ICRC menyeru kedua pihak bertenang dan mengelakkan peningkatan ketegangan bagi mengehadkan kemudaratan kepada penduduk, khususnya kehilangan nyawa orang awam, kerosakan harta benda awam termasuk infrastruktur penting.
Dalam kenyataannya, ICRC mengingatkan mereka yang cedera mesti dibenarkan mendapatkan rawatan yang diperlukan, sementara jawatankuasa akan meneruskan dialog sulit dengan kedua-dua pihak sambil memantau rapat kesan kemanusiaan akibat pertempuran yang berterusan.
“Kami bersedia menyokong Persatuan Palang Merah Kebangsaan dan agensi kerajaan berkaitan dalam menyediakan bantuan yang diperlukan kepada mereka yang terjejas,” katanya.
Media antarabangsa melaporkan, Thailand pada Isnin melancarkan serangan udara di sepanjang sempadannya dengan Kemboja selepas pertempuran baharu tercetus.
Serangan udara ke atas kedudukan tentera Kemboja itu dipercayai dilaksanakan sebagai tindak balas terhadap serangan awal pagi yang mengakibatkan korban di pihak Thailand.
