Andalusia sedia pakej haji serendah RM45,990

SEPANG 28 Nov. – Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd.(Andalusia) menawarkan empat pakej haji untuk musim akan datang yang bermula pada harga RM45,990 sehingga 92,990 untuk jemaah haji terpilih awal (P1) dan jemaah rayuan.

Harga pakej itu bergantung kepada kategori jemaah, jarak penginapan (hotel) dengan Masjidilharam dan Masjid Nabawi, kategori bilik (berdua hingga berempat).

Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tour Sdn Bhd, Md Daud Che Ngah berkata, pakej yang disediakan adalah Pakej Marsa/Amjad bermula RM45,990 sehingga RM73,990 (P1) dan RM50,990 hingga RM75,990 (rayuan).

Katanya, pakej Olayan/Elaf pula bermula RM53,990 hingga RM75,990 (P1) dan RM56,990 sehingga RM78,990 (rayuan).

Pakej Safwah (Aziziyah) pula bermula RM61,990 sehingga RM75,990 (P1) dan RM66,990 sehingga RM77,990 (rayuan) manakala Safwah (standard) bermula RM92,990 hingga RM118,990 (P1) dan RM95,990 hingga RM120,990 (rayuan).

Md Daud memberitahu demikian pada sidang media di reruai Andalusia D28–D43 sempena Karnival Haji, Umrah & Pelancongan kali ke-4 yang berlangsung di Movenpick Hotel & Convention Centre (MHCC) KLIA, Sepang.

Bermula hari ini sehingga 30 November, karnival ini melibatkan 34 Pengelola Jemaah Haji (PJH) berlesen di bawah Tabung Haji termasuk Andalusia.

Karnival ini menjadi platform terbaik untuk bakal haji musim 1447H/2026M mendapatkan maklumat tepat dan membuat pilihan pakej haji daripada PJH berlesen mengikut piawaian TH dan peraturan Arab Saudi.

Menurut Md Daud karnival itu memberi peluang kepada bakal jemaah yang mahu menunaikan ibadah haji membuat pilihan yang sesuai berdasarkan tawaran disediakan agensi atau syarikat yang dipilih sebagai PJH bagi musim 1447/2026.

Bagi jemaah yang membayar bayaran penuh sebanyak RM33,300, mereka hanya perlu menambah sedikit kos untuk menikmati ibadah dalam keadaan lebih selesa.

Katanya, bagi keselesaan jemaah, Andalusia menyediakan seorang mutawif bagi setiap 100 jemaah, ziarah dan umrah tanpa caj tambahan serta bimbingan ibadah secara lebih terperinci.

“Andalusia turut menyediakan bas khas untuk jemaah yang memilih pakej premium, penginapan di Aziziyah bagi memudahkan pergerakan antara Arafah, Muzdalifah dan Mina, serta 30 cenderamata termasuk beg, pakaian dan kelengkapan asas haji.

“Kami juga menganjurkan majlis makan malam khas yang menghimpunkan semua jemaah Andalusia selepas pulang dari Arafah untuk meraikan semua jemaah,” katanya.

Sementara itu, karnival ini menyediakan pelbagai acara seperti Bual Bicara Podcast TH, persembahan Raihan, Inteam & Mawi, Simulasi Haji Cilik, Maskot Omar & Hana, Kuiz & Bual Bicara Interaktif, Bazaar dan Cabutan Bertuah.

Nnn

Related posts

Leave a Comment