PUTRAJAYA 28 Nov. – – Kerajaan akan terus memperkukuh tradisi pengajian Al-Quran dan hadis melalui pelbagai institusi pendidikan, termasuk sekolah harian, sekolah agama dan institusi tahfiz, kata Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata kerajaan Madani merupakan satu-satunya kerajaan yang berjaya menekankan pengajian al-Quran, mendukung usaha pengajarannya sama ada di sekolah kebangsaan, sekolah agama atau sekolah pondok.
Katanya, usaha memperluas pengajian hadis termasuk program Sama’ Hadis Bukhari yang dimulakan tahun lalu, kini diteruskan dengan pembelajaran keseluruhan korpus hadis Sahih Muslim.
Tradisi seperti itu katanya pernah menjadi amalan pada zaman kegemilangan tamadun Islam tetapi telah lama tidak diteruskan dan kini menerima sokongan ulama terkenal dari dalam dan luar negara dalam melaksanakan program berkenaan.
Sehubungan itu, kerajaan mengambil tanggungjawab menghidupkan semula usaha tersebut serta mengarusperdanakan kefahaman Islam, akhlak dan nilai dalam sistem pendidikan serta pembangunan teknologi negara.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Khatam Sama’ Hadis Sahih Muslim Antarabangsa 2025 di sini, hari ini.
Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada para ulama antarabangsa yang hadir pada majlis berkenaan termasuk Mufti Besar India, Al-Allamah Sheikh Abu Bakar Ahmad Al-Malibari dan Sheikh Dr Ahamed Mamduh dari Mesir.
Turut hadir Al-Allamah Sheikh Isam As-Sabuie Al-Maliki dari Tunisia, Syeikh Dr Yasir Al-Adeni As-Syahiri dan Syeikh Niyaz Ahmad Al-Adeni dari Yaman, Syeikh Hussein Abdul Qadir Al Yusuf dan Syeikh Hasnul Hizam Hamzah dari Malaysia dan Sheikh Nuruddin Al-Banjari Al Makki dari Indonesia.
Beliau berkata, kehadiran tokoh-tokoh besar dunia Islam itu membuktikan pengiktirafan terhadap peranan Malaysia sebagai pusat ilmu Islam unggul selaras dengan aspirasi Malaysia Madani yang menghimpunkan para ulama untuk berkongsi pandangan, memperkukuh ukhuwah serta menzahirkan kesatuan ummah.
“Inilah maksud bila saya lontarkan rangka Malaysia Madani (yang) menghimpunkan para ulama untuk bermuzakarah, saling memahami, memperbaiki kelemahan dan meningkatkan usaha menyempurnakan tugas dan amanah tadbir negara ini,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, keseimbangan pembangunan duniawi dan kekuatan rohani perlu terus menjadi tunjang agenda Malaysia Madani bagi memastikan negara maju dari segi teknologi serta unggul dalam aspek akhlak, keinsanan dan nilai.
Katanya, pembangunan berteraskan nilai dan keinsanan amat penting dalam membentuk masyarakat sejahtera serta negara yang stabil dan berdaya tahan.
Beliau berkata, dunia kini berlumba mencapai pembangunan pesat namun berdepan kemerosotan nilai manusiawi dan akhlak.
“Kita mesti meningkatkan karamah insaniyyah dengan meletakkan nilai dan akhlak dalam seluruh rangka pendidikan, ekonomi, teknologi dan tadbir urus kerajaan. Kita bicara tentang dunia yang berebut untuk mencatat kemajuan, pembangunan yang pantas dan segar tetapi luntur nilai manusiawinya dan akhlak,” katanya.
Sebab itulah ada usaha yang lebih bersungguh-sungguh untuk memenuhi maksud negara Madani supaya kita tidak ketinggalan dalam bidang-bidang dan ilmu yang kita terokai yang dianggap baru seperti kecerdasan buatan (AI) atau digital dan aspek-aspek tenaga baharu,” katanya.
Nnnn
