SPRM akan panggil Albert Tei, Shamsul

SEPANG 26 Nov. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan segera berhubung dakwaan pemberian rasuah oleh seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Albert Tei kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata pihaknya akan memanggil individu yang membuat dakwaan berkenaan iaitu Albert Tei serta individu yang dinamakan dalam dakwaan itu dalam masa terdekat untuk memberi keterangan.

“SPRM akan memanggil pihak yang membuat tohmahan berkenaan iaitu Albert Tei serta pihak yang ditohmah iaitu Datuk Seri Shamsul Iskandar dalam masa terdekat bagi memberi keterangan.

Selain itu, SPRM juga akan memanggil semua pihak-pihak yang terlibat bagi tujuan mengumpul bukti-bukti yang diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan.

Azam juga berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenai isu ini dan memberi ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan bagi mengumpul keterangan serta bukti berkaitan tohmahan ini.

Semalam, Shamsul Iskandar mengesahkan sudah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Dan hari ini, Anwar menerima peletakan jawatan itu dan menegaskan bahawa SPRM bebas untuk menjalankan siasatan segera tanpa sebarang campur tangan luar.

“Kerajaan MADANI kekal teguh pada prinsip ketelusan dan integriti dan memberi ruang kepada proses siasatan mengikut lunas undang-undang,” kata Anwar.

Shamsul Iskandar mengumumkan beliau meletak jawatan selepas enam hari Perdana Menteri membuat teguran keras terhadapnya kerana mengeluarkan surat sokongan kepada kontraktor bagi sebuah projek hospital pada 2024.

Dalam hantaran semalam, Shamsul Iskandar berkata, keputusan itu diambil susulan wujud percubaan menyerang beliau dengan perkara yang boleh menjejaskan imej kerajaan MADANI.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment