Kadar tolak tawaran lebih rendah

KUALA LUMPUR 21 Nov. – Peringatan berkala seawal Ogos lalu, serta menggalakkan kempen simpanan berterusan memberi kesan positif terhadap kadar penolakan tawaran haji bagi musim haji 1447/2026M.

Hasil tindakan proaktif Lembaga Tabung Haji (TH) itu, kadar penolakan tawaran haji bagi musim haji akan datang lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya .

Dalam kenyataannya hari ini, TH berkata, kesan positif itu turut dipengaruhi inisiatif peremajaan jenama TH yang sedang giat dilaksanakan.

“Tawaran haji bagi musim 1447H/2026M kepada jemaah masih lagi dikeluarkan secara berperingkat ketika ini.

Bagi musim haji 1447H/2026M yang akan datang, TH menggiatkan usaha antaranya membuat peringatan berkala seawal Ogos 2025 kepada semua bakal jemaah haji musim 1447H/2026M untuk membuat persediaan secukupnya dari segi kewangan, kesihatan dan ilmu pengetahuan,” kata kenyataan itu.

Sebelum itu, dalam jawapan bertulis di siarkan di laman web Parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan 50 peratus jemaah haji tahun ini yang terpilih menunaikan haji menolak tawaran berkenaan, yang antara lain disebabkan masalah kewangan.

TH dalam kenyataan sama turut memaklumkan sentiasa menggalakkan semua bakal jemaah menyimpan secara berkala dan sistematik sejak awal serta sentiasa menjaga kesihatan kendiri bagi mempersiapkan diri untuk melengkapkan rukun Islam kelima mereka.

Pada masa sama, jemaah haji perlu mencukupkan simpanan minimum RM15,000 di akaun TH masing-masing untuk melayakkan menerima tawaran haji atau membuat rayuan haji.

Mengenai isu 50 peratus jemaah menolak tawaran haji yang disiarkan media semalam, TH berkata, ia merujuk kepada data pada musim haji lalu iaitu musim haji 1446H/2025M.

Hasil analisis terhadap jumlah penolakan jemaah yang terpilih berpunca daripada tahap simpanan pendeposit yang rendah.

Untuk rekod, surat tawaran haji bagi musim 1447H/2026M mula dikeluarkan secara berperingkat kepada bakal haji mulai 24 Oktober lalu.

Isnin lalu, Ketua Jabatan Haji TH, Mohd Hisham Harun, memaklumkan lebih 26,000 surat tawaran haji bagi musim 1447H/2026 dikeluarkan selepas bakal jemaah memenuhi syarat simpanan minimum RM15,000 dalam akaun masing-masing

Related posts

Leave a Comment