Kekurangan dana ancam bantuan pelarian

NEW YORK – Ketua agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini memberi amaran, kekurangan dana yang serius mengancam perkhidmatan penting untuk jutaan pelarian di seluruh rantau itu.

Beliau berkata, tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, anggaran pendapatan bagi suku pertama 2026 terlalu rendah untuk menampung defisit besar dari 2025.

“Tanpa kemasukan dana baharu yang ketara, penyampaian perkhidmatan kritikal kepada jutaan pelarian Palestin di seluruh rantau akan terjejas,” katanya kepada Jawatankuasa Keempat Perhimpunan Agung PBB di New York.

Agensi PBB itu berdepan kesukaran kewangan yang semakin meruncing sejak Israel melancarkan tuduhan tidak berasas terhadap UNRWA dengan mendakwa kakitangannya terbabit dalam serangan 7 Oktober.

Tuduhan Israel itu mendorong beberapa negara penderma utama termasuk Amerika Syarikat, menggantung atau menangguhkan pembiayaan mereka

Lazzarini berkata, UNRWA berdepan kekurangan dana sekitar AS$200 juta antara akhir 2025 hingga awal 2026 dan kemungkinan mustahil untuk mengekalkan operasi UNRWA pada skala dan kualiti semasa.

UNRWA menyumbang 40 peratus daripada perkhidmatan penjagaan kesihatan asas di Semenanjung Gaza serta menyediakan pendidikan kepada ratusan ribu kanak-kanak.

Beliau berkata, pengurangan operasi dijangka membawa kesan yang amat serius terhadap kestabilan serantau, khususnya di Gaza, Tebing Barat, Lubnan, Syria dan Jordan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment