WASHINGTON – Kerajaan Amerika Syarikat (AS) akan membayar kebanyakan rakyatnya ‘dividen’ sekurang-kurangnya AS$2,000 (RM8,352) setiap seorang,
Presiden Donald Trump, berkata hanya rakyat berpendapatan tinggi dikecualikan, tetapi tidak menyatakan paras pendapatan atau tempoh pelaksanaan cadangan itu.
Trump membuat hantaran di platform Truth Social semalam (Ahad) hampir seminggu selepas Parti Demokrat mencatat kemenangan di beberapa pilihan raya tempatan dan negeri di seluruh negara,
Ini termasuk mengekalkan jawatan gabenor di New Jersey dan Virginia serta merampas kerusi Parti Republikan di suruhanjaya utiliti di Georgia, yang selama ini negeri dikuasai Republikan.
Susulan pilihan raya itu, beberapa pihak dalam parti Trump sendiri mengkritik beliau kerana dikatakan kurang memberi tumpuan kepada penyokong terasnya, yang sebelum ini dijanjikan pengurangan kos sara hidup dalam kempen pilihan raya.
Kadar inflasi AS kekal tinggi sekitar tiga peratus, menyebabkan ramai rakyat mengadu mengenai kenaikan harga barangan.
Dalam hantaran sama, Trump memuji keadaan ekonomi AS dengan menyatakan bahawa hasil tarif perdagangan akan menjana ‘trilion dolar’ yang boleh digunakan untuk mula melangsaikan hutang negara yang besar.
Trump turut menyifatkan AS sebagai ‘negara terkaya dan paling dihormati di dunia’, sambil menegaskan ‘hampir tiada inflasi dan pasaran saham mencatat rekod tertinggi’.
Bagaimanapun, ramai pengusaha perusahaan kecil di AS membantah dasar tarif itu dan sebahagiannya telah memfailkan saman terhadap kerajaan, dalam kes yang didengari Mahkamah Agung minggu lepas.
Nnnn
