SEPANG 7 Nov. – Parti Bumiputera Perkasa Bersatu (Putra) menuntut penjelasan bertulis Universiti Teknologi MARA (UiTM) berhubung pelantikan Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin sebagai Profesor Adjung, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP).
Pemangku Ketua Wira Putra, Dr. Mohamad Izwan Zainal berkata, kriteria kelayakan akademik dan profesional juga perlu diumumkan secara terbuka bagi menjamin ketelusan berhubung pelantikan itu.
Justeru, katanya pelantikan itu perlu ditangguhkan serta-merta sehingga semakan semula garis panduan dan prosedur dilakukan dengan lebih telus dan berprinsip.
“Putra ingin menegaskan, isu ini bukan soal peribadi atau kebencian terhadap mana-mana individu, sebaliknya soal maruah ilmu dan integriti akademik negara. UiTM mesti kekal sebagai menara ilmu bangsa, bukan pentas glamor atau alat politik.
Apabila maruah ilmu tergadai, maka bangsa turut kehilangan arah. Putra akan terus mempertahankan prinsip bahawa kejayaan hanya bermakna apabila dibina atas landasan ilmu yang sahih dan perjuangan yang jujur.
Ingin dijelaskan, Putra bukannya tidak mengiktiraf ilmu jalanan, namun measurement dan criteria perlu seiring dengan keputusan,” katanya dalam satu kenyataan sebagai reaksi pelantikan penyanyi tersohor negara itu.
Dr. Mohamad Izwan berkata, Putra menghormati sumbangan dan pencapaian individu berkenaan dalam bidang seni, tetapi berpendapat setiap pelantikan akademik kehormat mestilah berpaksikan prinsip keilmuan dan integriti akademik, bukan sekadar populariti atau publisiti.
Katanya, UiTM sebagai institusi unggul bangsa Melayu perlu mengekalkan maruah dan standard ilmiahnya tanpa tunduk kepada tekanan persepsi.
“UiTM bukan sekadar institusi pendidikan tinggi, tetapi lambang perjuangan dan kebangkitan bangsa Melayu yang suatu ketika dahulu dinafikan peluang ke universiti. Ia dibina atas semangat menuntut ilmu, bukan sorakan populariti.
Oleh itu, setiap keputusan pentadbiran yang melibatkan pelantikan akademik mesti menghormati asal-usul perjuangan tersebut. Menjadikan UiTM sebagai pentas hiburan atau alat promosi hanya akan mencemarkan nilai dan tujuan penubuhannya sebagai menara ilmu bangsa,” katanya.
Beliau menarik perhatian bahawa Profesor Adjung ialah pelantikan akademik kehormat kepada individu luar institusi yang memiliki kepakaran, pengalaman luas atau sumbangan besar dalam bidang tertentu.
Ia bertujuan menghubungkan dunia akademik dengan industri dan masyarakat agar pelajar serta penyelidik mendapat manfaat daripada pengalaman sebenar dunia profesional.
“Walau bagaimanapun, pelantikan ini hendaklah dibuat berdasarkan merit dan relevansi ilmu, bukan pengaruh media atau status selebriti,” katanya
Putra menegaskan, pelantikan tanpa garis panduan akademik yang jelas akan menimbulkan persepsi negatif terhadap UiTM dan menjejaskan moral warga akademia yang telah berkorban bertahun-tahun dalam penyelidikan, pengajaran dan penerbitan ilmiah.
“Apabila kelayakan akademik diketepikan demi nama besar, ia bukan sahaja menghina dunia pendidikan tinggi tetapi turut mencalar kredibiliti institusi yang menjadi harapan bangsa,” katanya.
Semalam, Naib Canselor UiTM, Prof Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin, berkata pelantikan yang berkuat kuasa selama dua tahun bermula 15 Oktober 2025 itu menandakan langkah penting dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan universiti berkenaan.
Menurutnya, UiTM melihat Siti Nurhaliza sebagai simbol kejayaan yang melangkaui batas dunia hiburan, kerana beliau telah membuktikan seni dan perniagaan mampu berjalan seiring dalam mencipta nilai untuk masyarakat.
“Keupayaan beliau membangunkan jenama tempatan hingga dikenali di peringkat antarabangsa menjadi inspirasi kepada ribuan pelajar dan usahawan muda untuk terus berani bermimpi dan berusaha,” katanya pada Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Profesor Adjung di Bangunan Tuanku Canselori Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam.
Nnnj
