SEPANG 3 Nov. – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menuntut tiga tindakan segera termasuk penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat keseluruhan proses Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia–Amerika.
Presiden Putra, Dr Ibrahim Ali berkata, usul yang diluluskan pada Persidangan Agung Putra kali ke 6 semalam mahu siasatan menyeluruh dilakukan bermula dari rundingan hingga tandatangan, termasuk pengaruh luar, konflik kepentingan dan pelanggaran tatacara.
Katanya, Putra juga menuntut Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Zafrul Abdul Aziz juga mesti hadir ke Parlimen untuk menjelaskan setiap terma dan klausa, agar rakyat tahu apa yang sedang dipertaruhkan atas nama mereka.
Pada masa sama Putra juga mahu kerajaan membatalkan ART serta-merta sehingga teks penuh, lampiran teknikal dan risiko kepada sektor strategik negara di runding semula dan didedahkan kepada umum.
“Putra mengecam sekeras-kerasnya dan menyoal tindakan Perdana Menteri dan Tengku Zafrul yang menandatangani ART tanpa pendedahan kepada rakyat, tanpa perbahasan di Parlimen, tanpa perkenan Majlis Raja-Raja kerana ianya ada unsur mengenai kedaulatan negara.
Apa yang ditandatangani bukan sekadar kertas dagangan, tetapi masa depan kedaulatan negara yang tidak boleh diremehkan kerana ia bukan sahaja melibatkan 33 juta rakyat tetapi kedaulatan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Ibrahim berkata, jika perjanjian ini benar-benar memberi manfaat, melindungi kepentingan rakyat, mengapa disembunyikan sebelum di tanda tangan dan rakyat hanya tahu selepas ia ditandatangani.
“Kerahsiaan sebelum persetujuan bukan tanda hikmah, ia tanda ada sesuatu yang cuba disorok. Inilah penyakit yang membunuh kepercayaan rakyat, kerajaan yang melaungkan “reformasi” Apakah pemimpin negara sudah menjadi alat Amerika?
Apabila rakyat mula bertanya, kerajaan menggunakan ugutan tarif 100% kononnya sebagai alasan,” katanya yang menyifatkan perjanjian itu satu bentuk penjajahan moden, ditandatangani dengan pena, tetapi kesannya seperti rantai di leher negara.
Beliau mengingatkan tiada pemimpin yang berhak menandatangani masa depan negara tanpa izin rakyat dan kedaulatan bukan milik dua individu di meja rundingan, sebaliknya ia milik seluruh bangsa Malaysia.
Katanya, Putra menyokong hubungan ekonomi antarabangsa yang telus dan menguntungkan negara tetapi mendakwa apa yang berlaku dalam isu ART ini bukan lagi ekonomi, tetapi jenayah amanah terhadap kedaulatan negara.
“Rakyat dan Putra tidak akan tunduk kepada Washington, tidak akan sujud kepada ketakutan, dan tidak akan berdiam bila amanah bangsa dikhianati.
Kami menyeru semua rakyat Malaysia, ahli akademik, peguam, mahasiswa dan wira media untuk bersama menuntut kebenaran. Ini bukan isu parti, ini soal maruah negara,” tegas Ibrahim.
Nnn
