KOTA KINABALU 1 Nov. – Jumlah kerusi yang akan ditandingi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRU DU) pada 29 November ini. dijangka meningkat kepada 40 berbanding 36 yang diumumkan sebelum ini.
Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, bagaimanapun berkata jumlah sebenar kerusi ditandingi semua parti komponen PN dan senarai calon yang bakal bertanding atas tiket gabungan itu akan diumumkan pada 11 November ini.
Katanya, tiga parti komponen PN iaitu Pas, Bersatu dan Gerakan kini dalam proses memuktamadkan kerusi dan senarai calon masing-masing sebelum pengisytiharan calon dan pelancaran jentera seluruh Sabah.
Beliau berkata, semua nama calon akan diteliti sebelum diangkat untuk disahkan di mana bagi Pas, ada majlis syura yang akan meneliti semua calon berkenaan.
“Kita ada akujanji kepada semua calon yang akan dibuat sebelum watikah diberi kepada calon pada 11 November nanti. Jadi soal kerusi, soal siapa calon, kita akan putuskan pada 11 November nanti,” katanya pada sidang media selepas melancarkan jentera PN bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, di Taman Sepanggar, dekat sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah Pilihan Raya Pas Sabah, Annuar Musa dan Pesuruhjaya Pas Sabah, Dr Aliakbar Gulasan yang dijangka dicalonkan mewakili PN di kerusi DUN Karambunai.
Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, setakat ini PN hanya menumpukan kerjasama dalam kalangan parti komponennya sebelum melihat kerjasama dengan parti lain selepas keputusan PRN17 diketahui.
“Apa yang penting sekarang kita nak menang atas tiket PN, soal gabungan dan sebagainya buat masa ini kita tak ada dalam kepala lagi. Kita full-force dulu tenaga kita untuk PN,” katanya.
Mengenai sentimen ‘Sabah for Sabahan’ yang dibawa parti tempatan Sabah, Tuan Ibrahim menyifatkan slogan itu sebagai perkara biasa, sama seperti slogan Bangsa Johor di Johor dan Gagasan Terengganu Kita di Terengganu.
Katanya, sentimen itu tidak akan menjejaskan sokongan rakyat Sabah kepada parti nasional, khususnya PN, sejajar kehadiran parti nasional di negeri ini yang sudah lama berlaku.
“Sejarah Sabah ini berbeza sikit sebab daripada dulu sudah ada Barisan Nasional (BN) dan kemudian PN. Jadi sentimen ‘Sabah for Sabahan’ itu bukan bermaksud bahawa tak boleh terima parti luar.
“Ia tidak berlaku di Sabah, cuma apa yang saya tengok macam Johor, ada Bangsa Johor dan di Terengganu ada Gagasan Terengganu Kita, itu sentimen untuk negeri.
“Jadi dalam konteks politik Sabah ini, ia dinamik dan terbuka sejak dulu lagi. Sebab itu kita yakin kali ini pengundi Sabah akan memilih PN sebab walaupun parti itu mungkin presidennya dari Semenanjung, tapi seluruh kepimpinan PN Sabah ini orang Sabah,” katanya.
Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, kemelut berlaku dalam Bersatu ketika ini tidak menjejaskan operasi jentera PN menghadapi PRN17 kerana ia hanya membabitkan kepemimpinan pusat Bersatu di Semenanjung yang perlu diselesaikan parti itu di sana tanpa membabitkan Sabah.
Nnnn
