Pemilih daftar sehingga Ogos layak mengundi

KOTA KINABALU 28 Okt. – Hanya pemilih yang berdaftar sehingga Ogos lalu layak untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 yang dijadualkan pada 29 November depan.

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), nanti ialah sehingga Daftar Pemilih Tambahan (DPT)Bulan Ogos Tahun 2025 yang dikemas kini sehingga 5 Oktober 2025.

Ketua Program Latihan (Akademi Pilihan Raya) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Nik Aminudin Nik Shahar Shah, berkata berdasarkan DPPR itu, mereka yang mencapai umur 18 tahun dan didaftarkan sebagai pemilih selepas Ogos tidak layak mengundi.

“Perkara ini perlu dijelaskan bagi mengelak kekeliruan,” katanya pada taklimat media berhubung proses PRU DU Sabah ke-17 di Auditorium Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini, hari ini.

Katanya, DPT Bulan Ogos Tahun 2025 yang dikemas kini sehingga 5 Oktober 2025 digunakan sebagai DPPR bagi PRN Sabah dengan mengambil kira tarikh pembubaran DUN Sabah pada 6 Oktober lalu.

Nik Aminudin berkata, jika ada pemilih berdaftar sehingga Ogos lalu yang meninggal dunia, nama mereka juga kekal dalam senarai DPPR itu kerana nama pemilih yang meninggal dunia hanya dibersihkan selepas daftar sedia ada dikemas kini.

Berdasarkan senarai pemilih dalam DPPR yang digunakan SPR, terdapat seramai 1,784,843 orang pemilih keseluruhan pada pilihan raya Sabah kali ini.

Jumlah itu terdiri daripada 1,760,417 orang pengundi biasa, 11,697 anggota tentera serta pasangan dan 12,729 anggota polis serta pasangan dari Pasukan Gerakan Am (PGA).

SPR mula menjual DPPR untuk PRN Sabah sebagai rujukan pihak berkepentingan mulai 1 November depan.

Sementara itu, jumlah pemilih pada pilihan raya kali ini menunjukkan peningkatan lebih 100,000 pengundi berbanding 1,667,885 pemilih pada PRN Sabah ke-16 pada 2020.

Berdasarkan senarai pengundi SPR mengikut kawasan, kerusi DUN Kapayan mencatat jumlah pemilih berdaftar tertinggi yang layak mengundi pada pilihan raya kali ini iaitu 49,597 orang.

Ia disusuli DUN Inanam seramai 45,525 pemilih, Karambunai (39,247), Elopura (39,004), Sungai Sibuga (38,678), Sri Tanjong (37,327), Bugaya (36,569) dan Luyang (35,262).

Kerusi DUN Banggi pula mencatat paling sedikit pengundi dengan hanya 9,484 pemilih dan satu-satunya kawasan yang merekodkan jumlah pengundi di bawah 10,000 orang.

NNNN

Related posts

Leave a Comment