BAITULMUQADDIS – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengeluarkan amaran keras kepada Israel mengenai rancangan mengambil alih atau menjadikan Tebing Barat yang diduduki sebagai sebahagian daripada wilayah rejim itu.
Kenyataan itu dibuat kepada majalah Time melalui telefon pada 15 Oktober – hanya beberapa hari selepas rancangan gencatan senjata Gaza yang diterajuinya berkuat kuasa – tetapi ia hanya diterbitkan pada Khamis.
“Ia tidak akan berlaku kerana saya sudah berjanji kepada negara-negara Arab.”
sambil menegaskan “Israel akan kehilangan semua sokongannya daripada Amerika Syarikat jika itu berlaku.”
Beliau ditanya tentang seruan di Israel untuk mengambil alih Tebing Barat Palestin, yang diduduki oleh Israel sejak 1967.
Penggubal undang-undang Israel pada Rabu mengemukakan dua rang undang-undang yang membuka jalan untuk mengambil alih Tebing Barat, yang membawa kepada kecaman pada Khamis daripada Naib Presiden AS, JD Vance, yang berada di Israel pada masa itu dan menyokong komen Trump.
Apabila ditanya pada Khamis sama ada beliau bimbang dengan undian itu, Trump memberitahu pemberita di Rumah Putih: “Jangan risau tentang Tebing Barat. Israel tidak akan melakukan apa-apa dengan Tebing Barat.”
AS kekal sebagai penyokong ketenteraan dan diplomatik Israel yang paling penting.
Parti Likud yang juga parti Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memboikot dan mengkritik undian berkenaan walaupun ahli gabungan pemerintahnya menyokong usul berkenaan.
Negara-negara Arab dan Islam, yang dirayu oleh AS untuk menyediakan tentera dan wang untuk pasukan penstabilan di Gaza – elemen penting dalam pelan gencatan senjata Trump – memberi amaran bahawa pengambilalihan Tebing Barat adalah garis merah.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh media kerajaan Arab Saudi pada Khamis, lebih daripada 12 negara itu termasuk Arab Saudi, Jordan dan Turkiye mengutuk undian Parlimen Israel.
Semasa mengakhiri lawatannya, Vance mengecam undian di Parlimen Israel yang menyokong usul dua rang undang-undang pengambilalihan Tebing Barat, yang bermaksud ia akan dibawa ke hadapan untuk bacaan selanjutnya.
“Jika ia adalah aksi politik, ia adalah aksi politik yang sangat bodoh dan saya secara peribadi menganggapnya sebagai penghinaan. Tebing Barat tidak akan diambil alih oleh Israel, dasar pentadbiran Trump ialah Tebing Barat tidak akan diambil alih oleh Israel, itu akan terus menjadi dasar kami,” katanya.
