Pertemuan Hamas, Fatah di Mesir

KAHERAH – Delegasi daripada Hamas dan parti saingannya, Fatah, mengadakan pertemuan di Mesir bagi membincangkan urusan pentadbiran dan susunan politik pasca perang di Semenanjung Gaza.

Media tempatan yang dikaitkan dengan kerajaan Mesir, melalui saluran Al-Qahera News, memetik sumber perkhidmatan perisikan Mesir, pertemuan itu diadakan “bagi membincangkan situasi politik nasional secara keseluruhan serta persiapan selepas berakhirnya perang di Gaza.

Pertemuan itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Mesir untuk memulihkan kestabilan di wilayah Palestin dan menyatukan semula dua pergerakan utama — Hamas, yang mentadbir Gaza sejak 2007, dan Fatah, yang menguasai Pihak Berkuasa Palestin (PA) di Tebing Barat.

Secara tidak langsung pertemuan itu bagi memupuk semula perpaduan antara dua gerakan utama Palestin yang sudah sekian lama tidak sehaluan sejak 2007.

Mesir, yang berkongsi sempadan dengan Gaza di Lintasan Rafah, memainkan peranan penting sebagai orang tengah dalam rundingan gencatan senjata dan kini mengetuai inisiatif diplomatik untuk menentukan bentuk pentadbiran Gaza selepas perang.

Pemerhati politik menjangkakan perbincangan antara Hamas dan Fatah ini akan menjadi langkah awal ke arah pembentukan kerajaan perpaduan Palestin, yang boleh membuka jalan kepada pentadbiran sivil baharu di Gaza di bawah payung Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).

Perang antara Israel dan Hamas yang tercetus pada 7 Oktober 2023 selepas serangan mengejut Hamas ke atas selatan Israel yang mengorbankan puluhan ribu nyawa dan menyebabkan kemusnahan besar di Gaza.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment