PUTRAJAYA 23 Okt. – Pasport menantu Muhyiddin Yassin, Muhammad Adlan Berhan yang melarikan diri ke luar negara, sudah pun dibatalkan, kata Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau memberitahu, pembatalan itu dilakukan oleh Jabatan Imigresen susulan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan siasatan terhadap ahli perniagaan yang menjadi buruan itu.
“Sudah, sudah (pasport Muhammad Adlan sudah dibatalkan. Saya diberi faham oleh Jabatan Imigresen bahawa SPRM pernah mengangkat permohonan untuk membatalkan permohonan individu tersebut (menantu Muhyiddin).
“Hal itu (pembatalan pasport) telah pun dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen. Yang itu saya boleh sahkan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan dan sambutan Hari Inovasi 2025 KDN, di sini hari ini.
Adlan, 49, dilaporkan menuju ke New Zealand pada 17 Mei 2023, tidak lama selepas bapa mentuanya didakwa atas beberapa pertuduhan rasuah.
Saifuddin mengulas laporan media hari ini berhubung beberapa keping gambar yang dikongsi sumber kepada New Straits Times mengenai dakwaan keberadaan Muhammad Adlan di sebuah negara Asia Barat.
Foto berkenaan menunjukkan Muhammad Adlan bersama beberapa individu kenamaan dari Asia Barat serta berada di lapang sasar menembak dipercayai di Thailand.
Dalam pada itu, Saifuddin menjelaskan, isu yang dibangkitkan media berhubung kebebasan pergerakan individu tersebut di luar negara berkait rapat dengan dokumen perjalanan yang digunakan.
“Kalau seseorang rakyat Malaysia bergerak ke luar negara, dia mestilah menggunakan pasport yang sah. Dalam kes ini, pasportnya sudah dibatalkan,” katanya.
Beliau memberitahu, dua agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia akan bekerjasama rapat bagi memudahkan tindakan lanjut terhadap individu yang dikehendaki itu.
“Saya akan mendapatkan maklumat lengkap daripada semua pihak autoriti di bawah KDN, termasuk Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh.
“Keutamaan kami kini ialah bagaimana kedua-dua agensi ini boleh memfasilitasi proses membawa pulang individu berkenaan bagi tujuan siasatan SPRM,” jelasnya.
Sebelum ini media melaporkan Muhammad Adlan yang melarikan diri lebih dua tahun lalu, dipercayai kini menjalani kehidupan mewah di sebuah negara Asia Barat.
Dua tahun lalu, Ketua Polis Negara ketika itu, Razarudin Husain mengesahkan permohonan notis merah ke atas menantu bekas Perdana Menteri itu dan peguamnya diserahkan kepada Interpol.
Nnnn
