KUALA LUMPUR 23 Okt. – Anwar Ibrahim secara peribadi bersetuju dengan pengembalian hukuman rotan di sekolah, dengan pelaksanannya perlulah disertai syarat ketat termasuklah memastikan hukuman tidak dilakukan di hadapan umum.
“Pandangan peribadi saya, hukuman rotan harus dikembalikan, (Namun) bukan diberi kelonggaran sepenuhnya, rotan mungkin (dilakukan) di tangan.
“Saya pernah jadi guru dan saya ingat puluhan anak-anak saya dah rotan. Tapi di tangan, tentunya tidak teruk sangat, sehingga nampak seperti penderaan,” katanya menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH-Jelutong) pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar mengakui ada pandangan daripada kumpulan hak asasi manusia yang merasakan tindakan rotan termasuk dalam kategori penderaan anak-anak dan beliau memahami kontroversi itu, namun ramai pendidik dan ibu bapa merasakan terdapat keperluan untuk melaksanakannya.
“Tetapi (kalau dikembalikan hukuman rotan) ada syarat-syarat yang ketat dan perlu ditugaskan guru-guru tertentu, (selain) dilakukan di bilik khas iaitu bilik disiplin serta ditetapkan berapa jumlah maksimum rotan.
“Ada beberapa peraturan, jadi saya fikir, ibu bapa tidak perlu terlalu bimbang. Kerana kenakalan anak-anak adalah satu perkara biasa, namun jika melanggar peraturan secara berlebihan, tentunya perlu ada hukuman. Tapi ini sekadar pandangan dan bukan dasar kerajaan,” katanya.
Tambah Anwar lagi, perkara itu juga memerlukan libat urus semua pihak yang akan dikendalikan oleh Menteri Pendidikan sebelum ia dimuktamadkan.
Menjawab soalan mengenai pendakwaan dikenakan terhadap dua guru Sekolah Menengah jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa Confucian kerana didakwa merotan pelajar, Anwar berkata perkara itu sedang dalam tindakan mahkamah.
“Cuma saya ingin beritahu di sini, kebetulan daripada laporan diperoleh, salah seorang murid adalah anak autisme. Jadi kalau begitu, keadaannya mungkin agak berbeza… eloklah kita ikut fakta, saya tidak harus komen lebih daripada itu.
“Tapi kalau kes itu agak ringan, maka tentunya pihak pendakwa raya boleh menilai semula sama ada untuk meringankan tuduhan berkenaan,” katanya.
Berhubung larangan penggunaan telefon bimbit dan media sosial, Anwar, berkata perkara itu mengundang banyak bantahan.
Tegasnya, kerajaan bukan mengharamkan telefon bimbit, tetapi penggunaan media sosial di sekolah.
“Tapi kalau guna telefon, dia ada juga masalah, bukan saja (dari segi penggunaan) media sosial, (tetapi) ia merujuk kepada pedofilia dan perjudian. Jadi ini sedang teliti. Namun saya sekali lagi cenderung bahawa ilmu dan kecanggihan tidak boleh lari daripada soal adab dan akhlak,” katanya.
Nnn
