KUALA LUMPUR 22 Okt. – Menteri Dalam Negeri diminta menjelaskan prosedur operasi standard (SOP) jabatan penguatkuasaan kerajaan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam menjalankan latihan.
Takiyuddin Hassan (Pas Kota Bharu) yang meminta penjelasan itu berkata, ia susulan tindakan 10 hingga 15 orang yang menaiki lima kenderaan bertindak menyerbu masuk ke dalam Masjid Kampung Rusila, Marang, Terengganu.
Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026, beliau memberitahu, kejadian itu berlaku pada pukul 10 pagi, 29 September lalu.
“Apabila ditegur oleh orang ramai, mereka menyatakan ‘kami polis’ sebelum bertindak menggeledah dan memasuki ruang solat menggunakan kasut.
“Ketika pihak pengurusan masjid membuat laporan polis di Balai Polis Marang, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menyatakan bahawa apa yang berlaku adalah latihan komando agensi berkenaan. Latihan dibuat tanpa pengetahuan pengurusan masjid. Apa ini? Adakah ini SOP KDN?” katanya.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) itu turut meminta KDN menjelaskan mengenai dakwaan pemalsuan dokumen oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Beliau inginkan penjelasan bagaimana dan mengapa pemalsuan serta penipuan sebegini boleh berlaku, sehingga memalukan negara di pentas antarabangsa.
Takiyuddin mendakwa JPN walaupun tidak mempunyai bukti kukuh atau rekod dalam arkibnya untuk mengesahkan asal-usul pemain tetap memberi pengesahan dokumen itu sebagai salinan sah.
“Ini adalah satu kes penipuan yang jelas. Dokumen-dokumen itu dipalsukan, dan JPN, melalui Ketua Pengarahnya, mengakui jabatan itu tidak mempunyai bukti kukuh,” katanya.
Beliau berkata, ia memalukan bagi sebuah kerajaan berdaulat yang kononnya menjunjung kedaulatan undang-undang, tetapi sanggup memesongkan rekod fakta.
“Ini tidak boleh diterima. FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) adalah badan global, bukan organisasi kecil atau amatur (cap ayam),” katanya.
Sebelum ini, dalam laporan rasmi ‘Notification of the Grounds of the Decision’, Jawatankuasa Tatatertib FIFA menjelaskan hukuman itu dikenakan susulan pelanggaran di bawah Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA membabitkan pemalsuan serta pengubahsuaian dokumen rasmi.
Siasatan mendapati beberapa dokumen sokongan yang dihantar oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) termasuk sijil kelahiran datuk dan nenek pemain mengandungi butiran yang tidak sepadan dengan rekod asal di negara kelahiran sebenar pemain berkenaan.
Susulan itu, FAM sudah mengemukakan rayuan untuk mencabar dakwaan FIFA yang akan dikeluarkan pada 30 Oktober ini.
Nnnn
