PUTATAN 18 Okt. – UMNO-Barisan Nasional (BN) sedia bekerjasama dengan mana-mana gabungan dan parti untuk membentuk kerajaan negeri serta berkongsi kuasa selepas Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17) pada 29 November ini.
Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kesediaan itu berdasarkan analisis yang menjangkakan tiada mana-mana parti atau gabungan politik yang mampu menjadi dominan selepas keputusan PRN diketahui kelak.
Katanya, walaupun UMNO-BN menetapkan misi untuk merampas kerajaan negeri daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN17, namun ia menerima hakikat mengenai jangkaan tiada parti yang dominan hasil daripada analisis yang dibuat.
Beliau berkata, inilah peluang untuk UMNO-BN merampas semula Sabah tetapi hakikatnya,, dalam analisis yang dilakukan tidak ada parti politik atau gabungan yang dominan.
“Insya-Allah, UMNO sanggup bekerjasama dengan mana-mana gabungan dan parti untuk membentuk kerajaan supaya kita sama-sama berkongsi kuasa.
“Dan Insya-Allah di bawah BN, kita berjanji untuk satu perkara utama, kita akan laksanakan semua aku janji yang tercatat dalam manifesto yang akan kita laksanakan nanti,” katanya pada Program Pemerkasaan Wanita MARA dan Seminar Kenegaraan Malaysia Madani Peringkat Negeri Sabah, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci parti atau gabungan yang UMNO -BN bersedia untuk bekerjasama.
Berdasarkan perkembangan semasa, BN setakat ini hanya bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRN17 dan tidak mahu bekerjasama dengan GRS.
Presiden UMNO itu turut menempelak pihak tertentu di Sabah yang menggunakan sentimen ‘Sabah for Sabahan’ dan tolak ‘parti Malaya’ untuk meraih sokongan rakyat menjelang PRN17.
Katanya, sentimen seumpama itu adalah tidak wajar kerana Sabah turut dipertahankan oleh pemimpin dan rakyat dari negeri lain ketika negeri itu berdepan ancaman seperti serangan pengganas Sulu di Tanduo, Lahad Datu pada 2013.
“Bila berlaku di Tanduo, siapa yang datang mempertahankan Sabah?. Orang ini datang (Ahmad Zahid) untuk Sabah, orang Malaya inilah yang mempertahankan Sabah.
“Siapa yang mengeluarkan arahan supaya menggunakan aset tentera ke Tanduo? Di mana ESSCOM dan bila ESSCOM itu ditubuhkan? (Bekas Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak yang menubuhkan ESSCOM, tempatnya di FELDA Sahabat,” katanya.
Beliau merujuk tanggungjawabnya sebagai Menteri Pertahanan ketika berlaku pencerobohan pengganas Sulu yang mencetuskan pertempuran dengan pasukan pertahanan negara di Tanduo, Lahad Datu pada awal 2013.
Ahmad Zahid turut menjelaskan UMNO dan BN Sabah diberi autonomi supaya parti itu tidak dianggap sebagai ‘parti Malaya’, sebaliknya menjadi parti yang benar-benar untuk rakyat Sabah.
“Ini parti rakyat Sabah, orang Sabah yang meminta UMNO datang ke Sabah untuk membantu rakyat negeri ini. UMNO dan BN yang memberikan pembangunan di Sabah.
“Berikan peluang kepada BN, Insya-Allah kita tahu melakukan sesuatu yang lebih baik yang kita mampu lakukan,” katanya.
Nnn
