KUALA LUMPUR 14 Okt. – Wan Saiful Wan Jan yang dipecat keahlian Bersatu terkejut dengan ‘tindakan pantas’ Lembaga Displin terhadapnya, sedangkan sampai ke hari ini belum ada keputusan terhadap aduan terkait Setiausaha Agung, Datuk Seri Azmin Ali yang dibuat dua tahun lalu.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, itu mempertikai ‘permainan dalaman’ termasuk pihak tertentu dalam parti yang mahu tindakan segera diambil terhadapnya dan pimpinan lain.
Wan Saiful yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu bagaimanapun memilih untuk tidak mendedahkannya hari ini sebaliknya, menyatakan hanya akan menceritakan lebih lanjut hal itu pada lain hari.
“Saya dapat surat daripada Lembaga Displin yang pertama bertarikh 21 September lalu. Aduan dibuat oleh pengadu melalui surat bertarikh 18 September.
Keluar notis yang pertama, saya dipanggil pada 25 September lalu. Jadi 18 (September) aduan, 25 (September) terus kena panggil bicara. Jadi saya mengucapkan tahniah dan saya amat berbangga dengan kebolehan parti saya menjalankan kerja dengan begitu efisien.
“Sebenarnya ramai lagi ahli dalam parti yang membuat aduan macam-macam, banyak lagi aduan yang diterima. Saya sendiri pernah buat aduan displin. Saya rasa dua tahun lalu, saya sendiri juga buat aduan displin terhadap Azmin Ali.
“Tapi kita tunggu dan lihat adakah keberkesanan dan kecekapan kerja ini konsisten dan boleh dikekalkan oleh parti atau pun dia,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Hadir sama Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang digantung keahlian selama satu penggal.
Empat lagi pemimpin akar umbi Bersatu yang turut berdepan tindakan pemecatan adalah Mohd Azrudin Md Idris (Hang Tuah Jaya); Mohd Faizal Asmar (Pengerang); Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) serta Mohd Isa Mohd Saidi dari Bahagian Ampang.
Wan Ahmad Fayhsal pula mendakwa kewujudan ‘pihak-pihak berkepentingan’ atau tali barut dalam parti sudah lama mahu tindakan diambil terhadap mereka.
“Cuma mungkin akhir-akhir ni agaknya mereka mungkin mahukan benda ini diselesaikan. Jadi itu, sebablah apa yang berlaku pada kami semalam adalah sesuatu yang amat-amat mengecewakan.
“Malah kalau ikutkan, merugikan Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu dalam keadaan kita nak berdepan dengan Pilihan Raya Neger (PRN) Sabah dan beberapa siri pilihan raya lain.
“Kami akan menentang sesiapa yang kami anggap tali barut, mereka yang cuba mengatur sesuatu terhadap kami. Ingat, apabila seseorang dikeluarkan, orang itu menjadi terlalu berbahaya bagi individu-individu tertentu dalam parti,” katanya.
Nnnn