Ramai bertanyakan bantuan kebajikan

KUALA LUMPUR 12 Okt. – Setakat September lalu, lebih 50,000 panggilan diterima daripada orang ramai menerusi Talian Kasih 15999 dengan panggilan tertinggi membabitkan pertanyaan berkaitan status bantuan kebajikan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM)  Nancy Shukri, berkata, panggilan berkaitan bantuan kebajikan seperti status permohonan, prosedur untuk memohon dan bantuan khas seperti untuk golongan orang kurang upaya (OKU).

“Namun, ada juga panggilan berkaitan warga emas, kes pengabaian serta keganasan rumah tangga, tetapi kategori kebajikan mencatat jumlah tertinggi,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen ‘Awak Okey Tak? Jom Kongsi’ sempena Kasih Fun Run di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,  Dr Noraini Ahmad.

Nancy berkata, kempen terbaharu KPWKM itu akan menjadi seruan kepada masyarakat untuk belajar bertanya dan mendengar, langkah pertama untuk membolehkan seseorang itu merasakan mereka dilihat dan disayangi.

“Soalan yang nampak kecil, tetapi membawa makna besar. Jika anda nampak rakan, jiran atau ahli keluarga yang kelihatan tidak gembira, luangkan masa dan tanya ‘Awak Ok tak?’ mungkin itu satu-satunya soalan yang diperlukan mereka hari itu,” katanya.

Beliau berkata, Talian Kasih 15999 beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu bagi menawarkan bantuan kaunseling, perlindungan dan sokongan sosial kepada individu memerlukan.

“Hari ini kita berlari untuk kesihatan tubuh, tetapi marilah kita terus berjalan bersama untuk kesihatan jiwa. Setiap langkah, senyuman dan pertanyaan membawa makna dalam membentuk masyarakat yang lebih peduli,” katanya.

Untuk rekod, tahun lalu Talian Kasih 15999, sebanyak 59,065 panggilan diterima, manakala sehingga September 2025, 52,801 panggilan direkodkan.

Talian yang beroperasi 24 jam sehari membolehkan orang ramai menghubungi, menghantar mesej WhatsApp ke 019-26 15999 atau menggunakan aplikasi mudah alih untuk mendapatkan bantuan segera seperti kaunseling, perlindungan, bimbingan sosial remaja dan perkhidmatan reproduktif.

Nnn

Related posts

Leave a Comment