4 pelajar kes rogol boleh duduki SPM

MELAKA 12 Okt. – Semua empat pelajar yang disyaki terbabit dalam kes rogol seorang pelajar perempuan di sekolah menengah di Alor Gajah dibenarkan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadual bermula 3 November ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata keputusan itu dibuat untuk memastikan aspek pendidikan pelajar terbabit tidak terganggu meskipun mungkin terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang, susulan kes berkenaan.

Katanya, tindakan undang-undang terhadap mereka diserahkan sepenuhnya kepada polis, manakala kementeriannya memberi tumpuan kepada aspek disiplin, ekosistem sekolah serta sokongan emosi dan psikososial kepada semua pihak yang terbabit.

“Kita juga mahu masyarakat memahami kes ini membabitkan individu bawah umur dan dilindungi undang-undang dari segi maklumat peribadi.

Justeru, ibu bapa serta masyarakat perlu lebih cakna dan berhati-hati apabila membincangkan kes seperti ini,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri,  Rahmad Mariman serta Ketua Polis Melaka, Dzulkhairi Mukhtar di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Bukit Beruang di sini hari ini.

Fadhlina berkata, pelajar perempuan berkenaan sedang mendapatkan rawatan di hospital dan menerima sokongan psikososial daripada pasukan perubatan.

Beliau berkata, semua guru dan calon SPM sekolah itu akan diberikan sokongan emosi serta psikososial susulan sebagai usaha untuk memastikan semua calon  dapat memberikan sepenuh tumpuan dan melakukan persediaan terbaik menjelang peperiksaan.

“Kumpulan kaunselor akan turun memberikan sokongan penuh kepada warga sekolah dan pelajar (calon SPM) kerana sekolah berkenaan antara yang menunjukkan prestasi terbaik di Melaka.

“Tumpuan penuh akan diberikan kepada guru serta calon SPM. Itu yang kita utamakan ketika ini, termasuk dari segi persiapan mereka untuk menghadapi peperiksaan supaya mereka tidak terganggu dengan kes ini,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment