Hanya 2,915 sah pemasangan SLD

PUTRAJAYA 24 Sept. – Seminggu menjelang penguatkuasaan pemasangan peranti had kelajuan (SLD), hanya 2,915 atau 2.68 peratus kenderaan perdagangan termasuk bas persiaran dan ekspres mengesahkan pemasangan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, pada sidang media di sini, hari ini berkata, sejumlah 105,890 atau 97.32 peratus kenderaan belum mengesahkan pemasangan SLD sebelum ia dikuatkuasakan bermula 1 Oktober ini.

Justeru beliau mengingatkan, tiada kompromi akan diberikan selepas tarikh berkuat kuasa, malah Notis 114 atau Notis Panggilan Temu Siasat akan dikeluarkan terhadap mana-mana pemilik kenderaan yang gagal mematuhi ketetapan itu.

SLD, peranti atau sistem kawalan kelajuan yang direka untuk mengehadkan kelajuan maksimum sesebuah kenderaan akan membabitkan kenderaan dibina selepas 1 Januari 2015.

Ia sebahagian usaha meningkatkan keselamatan jalan raya serta mengurangkan risiko kemalangan maut yang membabitkan kenderaan berat.

Penguatkuasaan termasuk membabitkan bas persiaran dan ekspres dengan Berat Dengan Muatan (BDM) melebihi 5,000 kilogram (kg) serta membawa lebih lapan penumpang, selain kenderaan barangan dengan BDM melebihi 3,500kg.

Loke berkata semua pemasangan, konfigurasi dan pengaktifan SLD perlu disahkan pihak yang diiktiraf Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui pengeluaran Slip Pengesahan dan Laporan Kefungsian SLD.

“Slip berkenaan wajib dikemukakan semasa pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) atau ketika urusan pembaharuan permit dengan APAD (Agensi Pengangkutan Awam Darat) serta sentiasa disimpan di dalam kenderaan bagi tujuan penguatkuasaan,” katanya.

Beliau berkata, pengesahan itu perlu diperbaharui setiap dua tahun bagi memastikan SLD berfungsi dengan baik, manakala pihak yang terbabit dalam pengesahan diwajibkan mengemas kini maklumat pemasangan setiap kenderaan secara mingguan melalui sistem dalam talian JPJ.

Slip Pengesahan dan Laporan Kefungsian yang sah hendaklah dimuat naik sebagai bukti untuk tujuan semakan serta pemantauan pematuhan oleh JPJ.

Nnn

Related posts

Leave a Comment