NEW YORK – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengecam langkah kuasa Barat mengiktiraf negara Palestin yang didakwanya hanya memberi ‘ganjaran besar’ kepada Hamas.
Beliau berkata, kuasa dunia sepatutnya memberi tumpuan kepada usaha membebaskan tebusan yang masih ditahan Hamas di Gaza, hampir dua tahun sejak perang Oktober 2023.
Trump berucap di di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), ketika beberapa negara termasuk Perancis, Britain, Kanada, Australia dan Portugal mengambil keputusan untuk mengiktiraf negara Palestin.
Israel berdepan kecaman antarabangsa susulan tindakannya di Gaza yang menyebabkan kemusnahan besar, dengan lebih 65,000 rakyat Palestin dilaporkan terkorban menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.
Trump kemudian mengadakan pertemuan dengan pemimpin dan pegawai dari beberapa negara majoriti Islam termasuk Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Mesir, Jordan, Turkiye, Indonesia dan Pakistan bagi membincangkan krisis di Gaza.
“Ia adalah pertemuan yang sangat berjaya membabitkan semua pihak utama kecuali Israel, tetapi itu akan menyusul,” katanya.
Kelmarin, portal Axios melaporkan selain isu pembebasan tebusan dan penamatan konflik, Trump dijangka membincangkan rancangan AS berkaitan pengunduran Israel serta tadbir urus pasca perang di Gaza tanpa pembabitan Hamas.
Washington dilaporkan mahu negara Arab dan Islam menghantar pasukan ketenteraan ke Gaza bagi membolehkan pengunduran Israel serta membantu merangka pembiayaan bagi proses peralihan dan pembinaan semula wilayah itu.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Rumah Putih berhubung hasil mesyuarat berkenaan sementara Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menyifatkan mesyuarat berkenaan sebagai amat berkesan dan satu kenyataan bersama akan dikeluarkan.
Nnn
