NEW YORK – Indonesia menawarkan untuk menghantar sekurang-kurangnya 20,000 anggota tentera sebagai pasukan pengaman ke Gaza bagi mempertahankan sebarang perjanjian damai pada masa hadapan.
Presiden Prabowo Subianto, berkata negara majoriti penduduk Islam terbesar di dunia itu mahukan keamanan yang membuktikan ‘kuat tidak bermakna betul’.
Ketika berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), Prabowo berkata, Indonesia bersedia membantu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjamin keamanan di Gaza.
“Kami percaya kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Kami akan terus berkhidmat di tempat yang memerlukan penjaga keamanan – bukan sekadar dengan kata-kata, tetapi dengan kehadiran fizikal di lapangan.
“Sekiranya dan apabila Majlis Keselamatan PBB (UNSC) serta UNGA membuat keputusan, Indonesia bersedia menghantar 20,000 atau lebih anggota kami untuk membantu menjamin keamanan di Gaza,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa Indonesia bersedia menghantar pasukan pengaman ke lokasi lain termasuk Ukraine, Sudan dan Libya.
Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Arab sudah berbincang selama berbulan-bulan berkenaan pelan pasca perang di Gaza, namun setakat ini masih belum membuahkan hasil.
Gaza musnah akibat serangan berterusan oleh Israel selama dua tahun sebagai tindak balas terhadap serangan oleh Hamas, dengan Israel berulang kali menuntut pemusnahan Hamas.
Serangan terbaharu menyasarkan penguasaan ke atas pusat bandar utama Gaza, namun cadangan terdahulu mencadangkan kuasa asing mengambil alih keselamatan wilayah itu.
Nnn..
