ALOR SETAR 15 Sept. – Pas berkewajipan mempertahankan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang telah dikuasai parti itu dan Perikatan Nasional (PN) terutama di ‘Negeri Pangkalan’ iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis.
Presiden Pas Abdul Hadi Awang berkata, kemenangan seterusnya akan disumbangkan oleh Pahang, Perak, dan Selangor, sekali gus memperkukuh kerusi Pas dan PN di peringkat Parlimen.
Pada masa yang sama Pas perlu melonjakkan pencapaian di negeri selatan dan juga di negeri Sabah yang akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
“Negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis yang telah dikuasai oleh Pas dan Perikatan Nasional (PN) ialah ‘Negeri Pangkalan’ yang wajib dipertahankan dan dilaksanakan agenda Islam mengikut bidang kuasa negeri,” katanya.
Katanya, kejayaan Pas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu membuktikan parti itu kini berada pada kedudukan paling kuat sejak ditubuhkan.
Beliau berkata, dalam PRU15, Pas mencapai kejayaan terbesar sejak penubuhannya apabila memerintah empat negeri dan memperoleh jumlah Ahli Parlimen terbanyak berbanding parti-parti lain.
“Maka, kita berkewajipan meneruskan perjuangan mengisi kemenangan yang lebih mencabar daripada mencapai kemenangan,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan Pas ke-71 di Kota Sarang Semut, di sini hari ini.
Ucapan dasar Abdul Hadi bertajuk Kembali Kepada Penyelesaian Islam itu merupakan kemuncak Muktamar PAS Pusat kali ke-71 dan akan dibahaskan oleh para perwakilan dari seluruh negara.
Turut hadir pada majlis perasmian ialah Pengerusi Perikatan Nasional (PN) merangkap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama beberapa pemimpin kanan Bersatu serta parti komponen PN.
Hadir sama, Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man bersama tiga Naib Presiden, iaitu Idris Ahmad, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Mohd Amar Nik Abdullah.
Selain itu, Presiden Gerakan, Dr Dominic Lau; Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir dan Presiden Bumiputera Perkasa (Putra), Ibrahim Ali turut hadir.
Abdul Hadi dalam ucapannya turut menyentuh mengenai mendisiplin jentera parti di mana semua Dewan dan Lajnah wajib bertugas dalam lapangan masing-masing dengan menekankan “Bertugas satu hari dalam perjuangan menegakkan Islam lebih baik daripada dunia dan segala isinya.”
“Perjuangan Islam ini menuntut taat, wala’, dan kesetiaan kepada Allah dan Rasul-Nya, serta kepada pemimpin yang taat kepada Allah dan Rasul. Inilah adab pejuang Islam sebagaimana diajar dalam al-Quran dan Sunnah.
Pas mempunyai Majlis Syura Ulamak yang menghimpunkan para ulama’ daripada pelbagai latar belakang ilmu, mereka bermesyuarat, berijtihad, dan menetapkan keputusan dengan berpandukan al-Quran dan al-Sunnah yang menjadi rujukan tertinggi.
“Segala keputusan yang bercanggah dengannya dibatalkan. Mandatnya diserahkan kepada Majlis Syura Ulamak dan Pas Pusat untuk membuat penelitian dan keputusan dalam urusan berkaitan hukum, dasar, dan strategi bagi menghadapi pilihan raya dan segala kemungkinan selepas pilihan raya, demi memastikan Islam terus memimpin, termasuklah urusan penentuan kerusi dan calon dalam menghadapi PRU-16,” katanya.
Abdul Hadi juga mengingatkan mengenai tanggungjawab utama Pemuda dan Muslimat mengekalkan sokongan anak muda dalam PRU-16.
“Pemuda dan Muslimat mesti agresif menggerakkan program yang dekat dengan jiwa anak muda dan wanita, merentasi batas politik dan kaum. Medan pertemuan perlu dipelbagaikan agar kelompok penting ini dapat didekatkan dengan perjuangan Islam, sekali gus mengukuhkan sokongan menjelang pilihan raya.
Pemuda dan Muslimat juga hendaklah menonjolkan lebih ramai tokoh yang menjadi suara rakyat dan ikon kepada anak muda.
“Mesti terhadapan dalam memperjuangkan isu masyarakat yang mampu mempengaruhi arus pemikiran dan membimbing generasi muda yang semakin pantas berubah. Inilah gelanggang sebenar yang menentukan kemenangan kita dalam PRU-16,” katanya.
Nnnn
