Tunaikan amanah sebaik mungkin

PUTRAJAYA 6 Sept. – “Insya-Allah saya akan tunaikan amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin,”, kata Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang memulakan tugas secara rasmi sebagai Peguam Negara hari ini.

Beliau berkata demikian kepada media ketika mendaftar masuk sistem kehadiran secara dalam talian pukul 8.15 pagi di lobi Jabatan Peguam Negara di sini.

Ahmad Terrirudin turut menjunjung kasih atas limpah perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan berterima kasih kepada kerajaan atas pelantikannya.

Pelantikan Ahmad Terrirudin sebagai Peguam Negara yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Idrus Harun yang tamat tempoh lantikan secara kontrak semalam, 5 September.

Ahmad Terrirudin, 55, sebelum ini adalah Peguam Cara Negara dan pelantikan ini sekali gus mengembalikan kedudukan lantikan jawatan itu dalam kalangan pegawai kanan Jabatan Peguam Negara.

Sebelum ini tiga penyandang terdiri orang luar bermula Tan Sri Mohamed Apandi Ali, Tan Sri Tommy Thomas dan Idrus sendiri yang masing-masing adalah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dan peguam.

Kali terakhir Peguam Negara dalam kalangan pegawai kanan agensi itu adalah Tan Sri Abdul Gani Patail yang memegang jawatan tertinggi itu antara 2002 dan 2015.

Dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada 12 April 1968, Ahmad Terrirudin, pernah bertugas sebagai Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan sebelum dilantik Peguam Cara Negara pada 25 Mac 2022.

Beliau berkahwin dengan Datin Zarina Idris dan dikurniakan empat anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB Hon) dari Universiti Malaya pada 1992 itu juga pernah menjawat jawatan sebagai Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah pada 2019.

Sebelum itu, beliau adalah Timbalan Ketua Bahagian Guaman III, Bahagian Guaman, Jabatan Peguam Negara pada 2017.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur dan Pulau Pinang pada 2008 dan 2007.

Ahmad Terrirudin memulakan perkhidmatannya sebagai pegawai undang-undang (kehakiman) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,  pernah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 2007 dan sebelum itu, adalah pegawai khas kepada Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim pada 2003.

Related posts

Leave a Comment