Keanggotaan Pas 1.3 juta, DHPP sayap baharu

ALOR SETAR 15 Sept. – Jumlah keanggotaan Pas ketika ini adalah 1.3 juta orang di seluruh negara, dengan menerima keahlian baharu antara 2,000 hingga 3,000 orang secara konsisten setiap bulan, kata Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan.

Pengerusi Jawatankuasa Urusetia Muktamar Pas itu berkata, parti itu juga mempunyai keahlian dalam kalangan rakyat Malaysia yang berada di luar negara.

Menurut Takiyuddin, keahlian Pas juga bertambah menerusi satu lagi kategori ahli baharu iaitu ahli bersekutu Pas apabila Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) meluluskan pindaan Perlembagaan Pas pada 8 Ogos lalu.

“Syarat menjadi ahli bersekutu Pas selain merupakan warganegara dan berumur 18 ke atas, mereka hendaklah beragama selain Islam.

“Maka, semua ahli Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) (kira-kira 10,000 orang) yang sebelum ini hanya berstatus sebagai rakan Pas, kini secara automatik diserap sebagai ahli Pas dalam kategori ahli bersekutu,” katanya dalam ucapan aluan sempena Muktamar Pas Pusat ke-71 di Markas Pas Kedah, di sini hari ini.

Berikutan itu juga DHPP dengan rasmi akan menjadi sayap baharu Pas bersama Assabiqun, Ulama, Muslimat dan Pemuda.

Dalam pada itu Takiyuddin menegaskan, Pas tanpa kompromi meletakkan ulama sebagai tonggak kepemimpinan yang dibantu secara tersusun oleh kalangan teknokrat, profesional dan aktivis di semua peringkat sejak dari awal penubuhannya sehingga ke hari ini.

Menurut beliau, adalah amat jelas Pas dalam gabungan kepemimpinan ulama dan umara telah berkembang secara progresif dan terpimpin ke arah konsep menegakkan agama serta menguruskan dunia dengannya.

“Pas sebagai sebuah parti politik meletakkan Islam sebagai dasar bermatlamat membimbing umah dan rakyat ke arah mencapai keredaan Allah SWT dalam setiap aspek kehidupan dunia, lebih-lebih lagi akhirat,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment