Komitmen Pas pimpin Malaysia berbilang kaum

ALOR SETAR 15 Sept. — Abdul Hadi Awang berkata, Pas sedia menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak termasuk parti bukan Islam seperti MIC dan MCA selagi mereka tidak bersifat ekstrem.

Presiden Pas itu berkata, perbincangan dengan pihak berkenaan sudah diadakan namun masih berada di peringkat awal.

“Kita terima orang yang berbeza dengan kita, syaratnya tidak ekstrem. Kita boleh bincang termasuk dengan NGO, parti bukan Islam termasuk ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-71 di Kompleks Pas Kedah, dekat sini hari ini.

Mengulas desakan perwakilan Pulau Pinang supaya Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri itu, Dominic Lau ditukar kerana didakwa tidak berfungsi, Abdul Hadi menyifatkannya sebagai isu dalaman gabungan tersebut.

Itu perkara yang boleh kita bincang dan selesaikan. Apa yang penting walaupun berlaku sedikit krisis dalam pilihan raya, ia ibarat ‘air berkocak dalam cawan’ sahaja.

Terdahulu dalam ucapannya Abdul Hadi menyatakan kesediaan Pas untuk memimpin Malaysia yang berbilang kaum dengan berpegang teguh pada Perlembagaan Persekutuan yang ditafsirkan menurut acuan Islam yang sebenar tanpa meminggirkan hak dan kepentingan kaum lain.

“Percayalah bahawa hanya Islam yang sempurna, adil, dan rahmat dapat menyatukan masyarakat majmuk dengan harmoni dan selamat,” katanya.

Ahli Parlimen Marang itu turut menggariskan komitmen Pas sebagai janji kepada rakyat bukan Islam iaitu Islam mendahulukan perdamaian dan persaudaraan, tanpa paksaan dalam beragama, walaupun Islam berkuasa sepenuhnya.

Islam mewajibkan pemerintah bersikap adil kepada semua; Islam mengizinkan penganut agama lain melaksanakan apa-apa yang diizinkan agama mereka, dengan sempadan menjaga sensitiviti umat Islam; dan Islam menyuruh umatnya menjaga sensitiviti penganut bukan Islam, sehingga termasuk dalam perkara aqidah ketuhanan.
َ
Di samping itu, beliau menegaskan Pas terus berpegang kepada pendekatan damai (muwajahah silmiyyah) dan memilih demokrasi sebagai medan perjuangan.

Katanya, pendekatan damai dipilih kerana ia selari dengan petunjuk al-Quran dan kebijaksanaan Rasulullah SAW yang bermatlamat menyelamatkan seramai mungkin manusia bersama Islam tanpa sebarang paksaan.

“Pas terus memilih demokrasi, walaupun banyak kelemahan dan salah lakunya. Namun, hikmah dakwah berjaya kerana hujahnya yang benar,” katanya

Beliau berkata, kejayaan kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pas dalam mengatasi masalah rasuah telah diakui oleh kawan dan lawan, namun Pas sentiasa bersyukur dan merendah diri kepada Allah.

Tegasnya, pendekatan Pas adalah untuk memberi penerangan melalui hujah (menerang), bukannya menyerang, serta sentiasa berlaku adil kepada semua pihak termasuk musuh.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment