ALOR SETAR 12 Sept. – Pas lebih menumpukan usaha gerak kerja menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) berbanding menamakan calon Perdana Menteri (PM), kata Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau berkata, walaupun terdapat desakan dan persoalan mengenai siapa calon PM, Pas berpendirian keputusan berkaitan dasar termasuk calon jawatan akan dibincangkan bersama dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN).
Ibrahim mengakui Pas mempunyai ramai tokoh berwibawa yang mampu diketengahkan sebagai calon PM namun fokus utama parti ketika ini adalah untuk memastikan kemenangan dalam pilihan raya terlebih dahulu.
“Dalam PAS kita tahu ramai tokoh yang berwibawa yang mampu ditonjolkan tetapi bagi kami, lebih baik fokus kepada menang pilihan raya dahulu.
“Gerak kerja perlu dipertingkatkan berbanding memikirkan soal calon,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) di sini, hari in
Beliau menegaskan sebarang keputusan besar, termasuk keputusan penting yang membabitkan dasar akan dibawa ke mesyuarat.
“Bagi kita, parti-parti politik ada hak masing-masing dan kita menghormati hak itu. Tetapi soal dasar dan keputusan besar tetap akan dibincangkan dalam PN,” katanya.
Mengulas keputusan Bersatu yang meluluskan usul mencalonkan Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri, Tuan Ibrahim berkata itu adalah hak parti berkenaan.
“Itu hak dia lah, hak parti-parti politik masing-masing. Bagi saya, yang penting sekarang ialah menang dulu,” katanya.
Ditanya sama ada Pas akan membawa usul sama bagi mencalonkan pemimpin daripada PAS sebagai Perdana Menteri dalam muktamar kali ini, beliau berkata setakat ini tiada usul seumpama itu diterima.
“Pada masa ini, kita belum terima sebarang usul tentang perkara itu. Setakat ini belum ada. Biasa usul ini dihantar awal untuk dibincang dalam jawatankuasa usul, kemudian barulah dibawa ke muktamar.
“Setakat maklumat saya, tidak ada usul tersebut sehingga kini. Tapi kalau ada usul tergempar, kita tidak tahu lagi,” katanya.
