KUALA LUMPUR 8 Sept. – Usul menamakan Muhyiddin Yasin sebagai calon Perdana Menteri ke-11 bagi mewakili Bersatu akan dibawa untuk dibincang dan diputuskan dalam Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN).
Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, berkata keputusan menamakan Muhyiddin adalah hak ahli Bersatu, malah ahli daripada komponen PN lain juga boleh menamakan calon pemimpin mereka ke jawatan itu.
“Setiap anggota komponen PN mempunyai hak untuk menamakan calon Perdana Menteri ke-11 daripada parti masing-masing.
“Seperti Bersatu, (parti komponen PN lain) angkatlah keputusan ini (calon Perdana Menteri masing-masing) ke dalam Majlis Presiden PN dan putuskanlah secara konsensus di sana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan cadangan ini dibuat berdasarkan merit Muhyiddin dan keadaan negara hari ini. Asas kepada merit ini adalah:
Pertama, pengalaman yang panjang, kemampuan yang teruji menyelamatkan negara dan rakyat dalam krisis pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara dalam masa yang singkat semasa tempoh pandemik.
Kedua, krisis ekonomi, kewangan dan kehidupan rakyat hari ini yang memerlukan pemimpin yang berkemampuan, berpengalaman di pusat dan negeri, mempunyai track record yang baik dalam pentadbiran kerajaan, kemampuan yang telah teruji, dan keadaan negara yang menuntut pemilihan kepimpinan berdasarkan merit dan bukan sekadar mencuba-cuba dan secara ujikaji.
“Ia dibuat dalam platform parti Bersatu, bukan platform Perikatan Nasional. Ia adalah cadangan mewakili ahli-ahli Bersatu dan wajar dihormati sebagai hak dan kehendak ahli-ahli Bersatu,” katanya.
Tun Faisal berkata secara etika dan beradab, Bersatu tidak pernah menyentuh dan menamakan pemimpin daripada parti-parti komponen lain dalam PN sebagai calon Perdana Menteri.
“Ini juga kerana Bersatu menghormati hak, suara dan pilihan ahli-ahli parti-parti Pas, Gerakan dan MIPP. Bersatu juga akan menghormati keputusan Perhimpunan Agung atau Muktamar Pas kerana ia dibuat dalam platform mereka, oleh ahli mereka dan mengenai pemimpin mereka,” katanya.
Katanya, mana-mana parti dalam PN juga boleh melakukan perkara serupa dalam perhimpunan agung parti masing-masing kerana itu keputusan yang sah dari segi undang-undang, berbanding melalui kenyataan media atau platform lain.
“Usul menamakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri ke-11 dibuat di dalam platform tertinggi parti iaitu PAT dan dibuat mengikut peraturan dan berdasarkan perlembagaan parti. Cadangan ini dibuat berdasarkan merit Muhyiddin dan keadaan negara hari ini,” katanya.
PAT Bersatu yang berakhir semalam meluluskan usul menamakan Ahli Parlimen Pagoh itu sebagai calon Perdana Menteri ke-11 mewakili Bersatu, selain menyokong sepenuhnya kepemimpinan sebagai Presiden parti.
Nnnnn
