ANTARA ANWAR DAN MUHYIDDIN

Oleh Ibrahim Ali

SAYA mula mengenali Anwar Ibrahim sejak tahun 1972, ketika saya menjadi Presiden KSITM (pemimpin pelajar ITM) sementara Anwar ketika itu Setiausaha Agung ABIM.

Saya juga mula mengenali Muhyiddin Yassin pada tahun 1973, sewaktu kami sama-sama berada dalam rombongan belia Malaysia ke Kanada selama tiga bulan.

Panjang ceritanya tentang dua sosok ini, tetapi bila ada masa lain, saya akan ulas lebih mendalam jika difikirkan perlu untuk pengetahuan bagi mereka yang ingin tahu.

Saya saksi perjalanan kedua-dua tokoh ini sejak usia muda. Kedua-duanya pernah dilihat sebagai harapan, namun masa akhirnya membongkar siapa yang sekadar menjual janji, dan siapa pula benar-benar memikul amanah.

Anwar pandai memukau dengan bahasa. Dari dulu hingga kini, retoriknya mampu menggegarkan dewan. Tetapi selepas gema hilang, rakyat kembali dengan tangan kosong. Anwar menjanjikan bulan, tetapi rakyat pulang tanpa lampu di rumah. Tokoh retorik yang tiada bandingannya.

Muhyiddin pula tidak berlebih kata. Ucapannya sederhana, kadangkala dingin, tetapi jelas memperlihatkan ciri-ciri seorang negarawan. Saat krisis melanda, beliau membuat keputusan berani dan besar yang menyelamatkan rakyat. Nyawa lebih utama daripada sorakan.

Muhyiddin tidak menjual kata, tetapi melaksanakan program yang tuntas dan nyata.

Minda bawah sedar kita semua tahu, lebih baik pemimpin yang diam tetapi bertindak, daripada pemimpin yang petah berkata tetapi gagal menunaikan. Saya tidak nampak Muhyiddin bersifat hipokrit, bahkan beliau seorang yang bersahaja.

Anwar pernah diangkat tinggi, namun jatuh berkali-kali. Bukan kerana ditentang lawan, tetapi kerana kelemahan dirinya sendiri. Orang lain semua salah, dia seorang yang betul. Manusia yang tidak nampak gajah di depan mata.

Muhyiddin pula diuji ketika negara berdepan Covid-19. Saat itu beliau berdiri di hadapan, menggalas beban paling berat, berani membuat keputusan tidak popular demi menyelamatkan jutaan nyawa. Katalah apa pun, inilah hakikatnya.

Satu diuji lalu runtuh, satu diuji lalu terangkat.

Itu bukan lagi perbandingan, itu adalah bukti.

Bayangkan seorang gadis berdiri di persimpangan. Dua jejaka datang melamarnya.

Yang pertama sangat petah, penuh janji manis. Katanya mahu belikan bulan, mahu hadiahkan bintang, mahu penuhi segala impian. Namun bila ditanya tentang masa depan, wang dapur, dan keselamatan, dia hanya tersenyum dengan kata-kata indah tanpa isi.

Yang kedua lebih tenang. Tidak banyak berjanji, tidak pandai bersajak. Tetapi dia menunjukkan kerja kerasnya, membawa bukti hasil titik peluh, dan menjelaskan bagaimana dia akan menjaga, melindungi dan menjamin masa depan gadis itu.

Sekarang saya tanya anda semua.

Bukankah hati yang waras akan memilih jejaka yang menjamin masa depan, berbanding jejaka yang sekadar menjanjikan bintang?

Dan bukankah itu juga pilihan yang lebih selamat untuk sebuah negara?

Kesimpulannya, Anwar mungkin menawan telinga dengan kata-kata, tetapi Muhyiddin menawan masa depan dengan tindakan.

Anwar hidup dengan janji, Muhyiddin hidup dengan tindakan.

Dalam politik, seperti dalam hidup berumah tangga, rakyat tidak perlukan kekasih yang pandai berjanji. Rakyat perlukan pelindung yang terbukti.

Sejarah tidak pernah silap membaca jiwa pemimpin. Ia sudah menulis di atas batu.

Anwar ibarat bayang yang hilang bila cahaya padam, tetapi Muhyiddin ibarat pohon yang tetap berdiri, memberi teduh walau ribut menggila.

Pengalaman dan Akhlak

Pengalaman Anwar setakat mengurus Yayasan Anda Akademik (sekolah swasta Tingkatan 3 hingga 6) dan akhirnya ditutup. Tidak ada pengalaman lain, selain menumpang jika ada pelajar tunjuk perasaan seperti peristiwa Baling, Disember 1974. Sehari selepas masuk UMNO, Anwar dipilih menjadi calon BN pada PRU 1982.

Terus di lantik Timbalan Menteri dan naik mendadak sebagai Menteri Kewangan tanpa apa-apa pengalaman dan Timbalan Perdana Menteri.

Habis pemimpin UMNO dipijaknya. Apa jasanya? Bila krisis kewangan berlaku pada tahun 1997, beliau melutut pada IMF. Kemudian sibuk secara halus utk tumbangkan Perdana Menteri (PM) Dr Mahathir Mohamad secara halus dan terancang. Betapa gelojoh dan tidak sabar sifatnya.

Muhyiddin pula mengalas banyak pengalaman. Beliau menjadi ahli perniagaan yang berjaya sewaktu menjadi Ketua Pemuda UMNO Muar, anak didik arwah Tan Sri Othman Saat. Lama menjadi Menteri Besar Johor, memegang pelbagai portfolio Menteri Kabinet, Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri. Naik dalam UMNO dan kerajaan, tetapi tidak pernah memijak kepala orang.

Sebaliknya, Anwar naik mendadak dengan cara memijak kepala orang melalui catur politik yang kotor. Kaji sejarah bagaimana Allahyarham Tun Ghaffar Baba disingkirkan sebagai Timbalan Perdana Menteri. Tidak sedikit kawan-kawan lama dalam ABIM dan rakan-rakan tegar dalam PKR telah tinggalkan Anwar. Panjang senarai namanya. Mangsa terakhir ialah Rafizi Ramli. Rasalah Rafizi, ini giliran kamu.

Muhyiddin seorang yang sabar, tenang dan berakhlak. Anwar pula dijatuhkan hukuman bersalah dalam kes liwat, dan masih ada kes yang menanti di hadapannya.

Siapa sebenarnya permata, dan siapa batu sungai?

Fikir-fikirkanlah demi masa depan rakyat dan negara. Yang satu sentiasa senyum dan suka peluk kawan tapi makan kawan. Yang satu lagi nampak sombong, tapi tidak makan kawan. Banyak bukti.

Saya yakin tulisan saya ini akan dikecam hebat olih cyber PH dan penyokong tegar Anwar. Saya tidak kisah kerana memang sifat saya suka dikecam. Ada peluang saya balas balik.

Yang penting bersifat terus terang dan tidak hipokrit atau munafik.

Muhyiddinlah calon terbaik PM 11 sebab pengalaman, bersifat istiqamah, berakhlak dan ada ciri-ciri negarawan. Jatuhnya PM Thailand yang berumur 37 tahun bukti terlalu muda tanpa pengalaman. Kerana tersasul bercakap akhirnya tersingkir.

Lebih 40 tahun saya berjuang tanpa noktah sejak menjadi pemimpin pelajar sehingga je hari ini. Dua kali ISA (tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri) dan naik turun mahkamah, menempuh onak dan duri, saya tidak perlu menokok tambah cerita selain memberi pandangan ikhlas dan bercakap benar.

Semoga Allah SWT memberi rahmat yang berpanjangan. In shaa Allah.

Dato’ Dr Ibrahim Ali

Presiden Parti PUTRA

4hb Sept 2025

Related posts

Leave a Comment