KUALA LUMPUR 3 Sept – Naib Presiden UMNO Johari Abdul Ghani dilantik mengetuai Pasukan Khas UMNO bagi penambahbaikan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB).
Setiausaha Agung UMNO Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pasukan khas itu bertanggungjawab meneliti dan memperhalusi setiap aspek Rang Undang-Undang PSB secara terperinci sebelum dibentangkan dalam Konvensyen Melayu Bandar.
Dalam kenyataannya hari ini, beliau memberitahu Konvensyen Melayu Bandar bakal melibatkan kepemimpinan tertinggi UMNO daripada Negeri-Negeri dan Bahagian-Bahagian seluruh Malaysia.
Konvensyen yang dijadualkan berlangsung pada penghujung bulan September akan turut melibatkan parti-parti politik Melayu, Pertubuhan-Pertubuhan Bukan Kerajaan, Ahli-Ahli Akademik dan masyarakat sivil.
“Resolusi Konvensyen Melayu Bandar kelak akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar bin Ibrahim,” katanya.
Barisan Nasional (BN) sebelum ini meminta RUU itu ditangguhkan selepas mendapat kritikan dan bantahan pelbagai pihak termasuk pembangkang selepas bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.
Nnnn
